Jumaat, 5 Februari 2010

Rasuah Di Jabatan Air Lahad Datu?

Oleh: SURIATI MAHMUD (sabahkini)


KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abu Kassim Mohammad disaran mengarahkan Unit Risikan SPRM menjalankan siasatan terhadap Skim Pengswastaan Bekalan Air di Lahad Datu, Kunak dan Semporna yang diberikan kepada satu konsesi, Lahad Datu Water Supply Sdn.Bhd (LWS) kerana berlaku amalan rasuah secara berleluasa.

Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Silam, Johani Abdul Halim yang membuat desakan demikian setelah Unit Risikan PKR mendapati terdapat terlalu banyak amalan songsang yang berlaku di Skim Bekalan Air Lahad Datu; terutama pemberian kontrak pembaikan dan bayaran melebihi kuantiti projek yang dilaksanakan.

“Kita mengesan seorang jurutera Jabatan Air Sabah yang bertugas disalah satu daerah membuat pejabat yang tidak mempunyai sebarang papan tanda namun mendapat keuntungan yang berlipat kali ganda kerana melaksanakan projek pemasangan paip dan pembaikan,” kata Johani yang mendakwa pihaknya mempunyai bukti.

Namun kata Johani, pihaknya hanya akan menyerahkan bukti jika benar SPRM ingin menyiasat kes berkenaan kerana aduannya kepada SPRM Sabah tahun lalu tidak mendapat sebarang maklum balas.

Kata Johani, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah seharusnya bertanggung jawab di atas kepincangan pentadbiran Jabatan Air dan pengswastaan bekalan air Lahad Datu, Kunak dan Semporna kerana bekalan yang diberikan melebihi permintaan sehingga banyak air yang sudah dirawat dibuang begitu sahaja bagi memenuhi nilai kontrak yang dimaterai dengan LWS.

“Datuk Sukarti harus turun padang melakukan pemeriksaan mengejut kerana begitu banyak kawasan di Lahad Datu, Kunak dan Semporna kering kontang ketiadaan bekalan air sedangkan setiap malam Jabatan Air terpaksa membuang air ke longkang,” ujar Johani yang akan mendesak Adun Pakatan Rakyat (Sri Tanjung) meminta kerajaan menyediakan kertas putih kerana kerugian ditaksirkan sejumlah RM30 juta setahun akibat pembayaran kontrak yang berat sebelah.

Tiba masanya, kata Johani, Datuk Sukarti menukarkan Jurutera Jabatan Air Lahad Datu yang hanya bersetinggan di Lahad Datu dan jarang berada di pejabat kerana menguruskan kontrak pemasangan paip atas nama proksi beliau dan bergegas pulang ke Kota Kinabalu pada hari jumaat dan hanya kembali ke Lahad Datu pada isnin atau selasa.

“Dua jurutera ini secara sedar menggunakan kedudukan mereka untuk mengaut untung dengan melakukan kontrak kerja berulang dan kos melebihi anggaran sebenar bagi memperkayakan diri mereka sehingga kita dapati salah seorang daripada mereka mempunyaio lebih RM10 juta dalam akaun isteri dan saudara mara mereka,” ujar Johani yang membidas SPRM kerana terlalu lembab menjalankan siasatan sehingga kebanyak bukti telah dilupuskan Jabatan Air.

Johani juga mendesak SPRM agar menyiasat aduan penduduk Taman Warisan, Jalan Tengah Nipah, enam kilometer daripada Lahad Datu bahawa mereka tidak mendapat bekalan air lebih tujuh hari lalu dan hanya diberi air secara catuan dan terpaksa menggunakan pam disebabkan tekanan rendah.

“Ada yang mendakwa pekerja yang membuka valve meminta antara RM5 hingga RM50 bagi setiap rumah yang memerlukan air. Ini amat keterlaluan kerana rasuah berlaku di mana-mana termasuk tukang buka paip,” ujar Johani yang kesal kerana Pengarah Jabatan Air Sabah lebih suka terperap di dalam bilik berhawa dingin daripada melihat kejalangan yang dilakukan kakitangannya.

Lebih mendukacitakan kata Johani, penduduk Taman Warisan terpaksa membeli air daripada Majlis Daerah Lahad Datu dengan kadar RM92 satu lori tangki atau daripada pihak swasta dengan kadar RM160 satu lori.

“Mereka telah melantik peguam untuk menyaman Jabatan Air dan kita amat kesal kerana rakyat terpaksa menggunakan mahkamah untuk mendapatkan hak mereka yang dirompak dua orang jurutera Jabatan Air,” kata Johani lagi.

Tiada ulasan: