Ahad, 21 Februari 2010

Pukau air ludah

Oleh Irwan Shafrizan Ismail


KUANTAN: Empat penyamun bersenjatakan parang sempat meminum dan meludah air berkarbonat di dapur rumah seorang pesara tentera dipercayai bagi tujuan pukau sebelum menyamun mangsa dalam kejadian di Sungai Soi, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.15 pagi itu, empat lelaki berkenaan yang dipercayai warga Indonesia, menggeledah rumah mangsa hampir 45 minit sebelum melarikan wang tunai RM1,200 dan barang kemas dengan anggaran kerugian keseluruhan berjumlah lebih RM5,000.

Mangsa yang berusia 48 tahun dan enggan dikenali berkata, ketika kejadian semua ahli keluarganya sedang nyenyak tidur di rumah dua tingkat berkenaan.

Beliau berkata, penyamun terbabit dipercayai memasuki rumah melalui pintu belakang sebelum dua daripada mereka bertindak mengejutkan isterinya yang berada di tingkat atas lalu mengikat kaki dan tangannya menggunakan wayar seterika.

“Dua anak lelaki saya dan ibu yang turut berada di bilik bahagian atas turut diperlakukan sedemikian dengan diikat menggunakan kain dan wayar pengecas telefon sebelum penyamun terbabit mengejut saya yang berada di bilik bawah. Kami kemudian dikumpulkan ditingkat atas rumah sebelum mereka mula menggeledah seluruh rumah hampir 45 minit.

“Salah seorang daripada mereka bertanyakan wang tunai dan mengugut untuk menikam perut saya menggunakan parang. Saya kemudian menyerahkan wang tunai kira-kira RM1,200 yang disimpan di rumah kepada mereka,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Mangsa berkata, sebaik mendapat habuan semua penyamun terbabit beredar dipercayai menggunakan sebuah kereta diletakkan di tepi jalan masuk ke rumah berkenaan.

Katanya, selepas berjaya membuka ikatan, dia turun ke tingkat bawah dan mendapati lantai dapur rumahnya dipenuhi kesan ludah air minuman berkarbonat diminum penyamun terbabit.

“Botol air minuman itu juga ditinggalkan di atas lantai...saya berasa hairan mengenai perkara berkenaan dan mengesyaki ini mungkin amalan pukau yang digunakan penyamun terbabit sebelum melakukan kerja mereka,” katanya.

Susulan kejadian itu mangsa menghubungi polis sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini, kira-kira jam 12 tengah hari semalam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis daerah, Superintendan Zulkifli Taha ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Tiada ulasan: