Rabu, 24 Februari 2010

Puak Liow semakin tersepit

Kuek Ser Kuang Keng



Puak yang diketuai oleh naib presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai akan cuba memaksa perhimpunan agung tahunan (AGM) akan datang membuat keputusan sama ada pemilihan pimpinan yang baru perlu diadakan.

Kumpulan Liow (kanan) itu hari ini menyerahkan empat usul untuk dibentang pada AGM akan datang di ibu pejabat MCA di Kuala Lumpur.

Usul pertama mereka ialah bagi perwakilan menentukan sama ada mereka bersetuju pemilihan yang baru diadakan.

Kumpulan itu telah berkali-kali berusaha agar pemilihan baru dibuat selepas perwakilan membuat undi tidak percaya kepada presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 10 Okt 2009.

Namun semua usaha itu gagal termasuk tindakan mendapatkan jawatan kuasa pusat meletakkan jawatan secara beramai-ramai juga menemui jalan buntu.

Ong (kiri) berdegil tidak mahu meletakkan jawatannya meskipun berjanji akan berbuat demikian jika “tewas walaupun satu undi”. Kedegilan Ong itu memaksa Liow 'menderhaka' dengan alasan untuk menjaga integriti MCA.

Usul lain yang dicadangkan oleh kumpulan Liow termasuk bagi meminda perlembagaan parti agar kuasa presiden disekat.

Dalam pada itu, Bernama melaporkan pengerusi lembaga disiplin MCA, Datuk Seri Fong Chan Onn menasihatkan anggota parti itu daripada mengelak mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan imej MCA.

"Yang berlalu biarkan berlalu, dan banyak perkara telah berlalu sejak pilihan raya umum lepas. MCA sekarang berdepan dengan cabaran untuk meraih semula sokongan kaum Cina," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pertama lembaga itu di Kuala Lumpur.

Beliau berkata parti itu mempunyai saluran dalaman untuk menyelesaikan masalah dan anggota MCA patut sedar mereka mempunyai masa yang terhad sebelum pilihan raya umum akan datang.

Justeru katanya ada keperluan mendesak untuk anggota mengukuhkan parti.

Mengenai peranan badan itu, Fong (atas, berbaju gelap) berkata mereka akan meneliti 60 aduan yang masih belum diselesaikan dan sebahagian daripada aduan tersebut telah diterima sejak 2008.

Tiada ulasan: