Khamis, 18 Februari 2010

PRU-13: Tiada simbol PAS buat Ibrahim tanding di Pasir Mas

MALAYSIA INSIDER


KUALA LUMPUR — PAS tidak akan memberi laluan kepada Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali untuk bertanding semula di kubu kuatnya di bahagian Parlimen Pasir Mas, Kelantan atas lambang parti itu pada pilihan raya umum akan datang.

“Tidak, kami tidak akan membenarkan Ibrahim Ali bertanding atas tiket PAS lagi... apa yang diputuskan pada tahun 2008 bersifat sekali sahaja, itu adalah keputusan ‘one-off’,” kata ahli jawatankuasa PAS Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Ahli Parlimen Kota Baru itu berkata pihaknya sudah memutuskan dari dahulu lagi bahawa ruang yang diberikan kepada Ibrahim dua tahun lalu hanya bersifat “sekali sahaja”.

“Keputusan ini bukan yang baru, memang dari dulu lagi kami sudah memutuskan demikian. Pada pilihan raya umum akan datang PAS akan meletakkan calon di kerusi Pasir Mas, sama ada Ibrahim Ali tanding atau tidak, PAS tetap akan meletakkan calon sendiri,” kata bekas pengarah pilihan raya PAS Kelantan ini.

“Keadaan 2008 tidak akan berulang, sebaliknya jika PAS letak calon, BN letak calon, Ibrahim juga mahu bertanding, maka akan ada saingan tiga penjuru... balik kepada keadaan asal seperti tahun 2004 di mana beliau kalah teruk,” kata Wan Abdul Rahim yang juga Yang Dipertua PAS Kota Baru.

Sebelum ini Ibrahim, ahli Parlimen Bebas pernah berkata bahawa walaupun beliau telah memutuskan kerjasama dengan PAS tetapi “hubungan di segi sahabat, berkongsi maklumat dan cita-cita politik masih macam biasa”.

“Saya kekal sebagai calon Bebas, maknanya, saya boleh berkawan dengan sesiapa, boleh bertegur sapa dengan sesiapa, kritik sesiapa, dan semuanya boleh kritik dan hentam saya.

“Maksudnya (saya) tidak memihak pada mana-mana pihak tetapi bebas,” katanya.

Ibrahim menjadi ahli Umno sejak 1981 tetapi telah dipecat pada 2003.

Ekoran tindakan itu, Ibrahim bertanding di kawasan Pasir Mas pada 2004 sebagai calon Bebas tetapi gagal.

Pada tahun 2008, Ibrahim bertanding menggunakan simbol PAS tetapi duduk di Dewan Rakyat atas kapasiti sebagai calon Bebas.

PAS menawarkan Ibrahim untuk menggunakan simbolnya.

Pada tahun 2004 kerusi Pasir Mas dimenangi calon PAS iaitu Ismail Noh yang memperoleh 17,526 undi manakala calon BN, Abd Rahim Abd Rahman mendapat 16,275 dan Ibrahim pula 6,198.

Dua tahun lalu, Ibrahim menerima 28,673 undi manakala calon BN, Ahmad Rosdi Mahmud 19,682.

“Permusuhan” antara PAS dan Ibrahim mula tercetus awal tahun lalu selepas wakil rakyat itu dilihat mengkritik semua pihak tidak kira parti termasuk Pakatan Rakyat.

Situasi itu menyebabkan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta beliau meletakkan jawatan dan bertanding semula di kerusi berkenaan.

Ibrahim kemudian menubuhkan Majlis Bertindak Rakyat Kelantan (MTRK) dan yang terbaru Perkasa.

Wan Rahim juga berkata berdasarkan maklumat yang beliau terima kemungkinan Umno juga akan meletakkan calonnya Pasir Mas dalam pilihan raya umum akan datang.

Walaupun Perkasa dikatakan menjadi pertubuhan bukan kerajaan yang mencabar peranan Umno tetapi parti dominasi BN itu menganggap Ibrahim sebagai rakan mereka.

Tiada ulasan: