Selasa, 23 Februari 2010

Produk pelangsing beracun


Produk makanan kesihatan yang didakwa boleh menguruskan badan yang dirampas oleh Kementerian Kesihatan di sekitar Subang Jaya, Selangor, semalam.


PETALING JAYA - Produk makanan tambahan ini didakwa cukup baik untuk kesihatan kerana diperbuat daripada bahan-bahan berkhasiat seperti serbuk soya, strawberi, spirulina, barli dan campuran jus buah-buahan.

Pada masa sama, ia dikatakan berkesan untuk menurunkan berat badan tanpa perlu bersenam dan menahan rasa lapar.

Disebabkan keistimewaan itu, produk tersebut mendapat permintaan tinggi di salon kecantikan dan pusat pelangsing badan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak serta negara jiran, Singapura.

Malah ramai pengguna dikatakan berpuas hati kerana produk berkenaan benar-benar berkesan untuk menurunkan berat badan.

Namun, mengejutkan apabila ujian dijalankan Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan baru-baru ini mengesahkan keadaan sebaliknya.

Produk yang didakwa berkhasiat itu sebenarnya boleh membawa maut kerana mengandungi sejenis kimia beracun iaitu 'sibutramine'.

Pengarah Penguat Kuasa Farmasi, Kementerian Kesihatan, Mohd. Hatta Ahmad berkata, 'sibutramine' berada dalam kelas ubat yang disebut sebagai perencat nafsu makan.

Katanya, bahan kimia itu bertindak pada otak dengan merencatkan pusat mengendalikan nafsu makan.

"Ia menyebabkan mereka yang mengambil produk itu hilang selera makan. 'Sibutramine' boleh diambil atas arahan dan pengawasan doktor kerana pengambilan tanpa mengikut dos dibenarkan boleh meninggalkan kesan sampingan dan menyebabkan kematian.

"Antara kesan akibat pengambilan bahan kimia ini ialah badan menjadi lemah, denyutan jantung laju, sakit dada, sesak nafas, mual, sakit perut, muntah, keseronokan melampau, resah dan menjejaskan buah pinggang," katanya pada sidang akhbar di pejabat Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan di sini hari ini.

Mohd. Hatta berkata, menyedari produk itu membahayakan nyawa pengguna, pihaknya hari ini menjalankan serbuan serentak untuk merampas produk itu di lebih 50 salon kecantikan dan pusat pelangsing badan di seluruh negara.

Beliau berkata, serbuan di pejabat pengedarannya di sebuah pusat perniagaan di Subang Jaya dekat sini pada pukul 11.40 pagi ini, berjaya merampas 7,441 kotak produk tersebut bernilai RM1.5 juta.

Katanya, serbuan di tempat-tempat lain tempat pula membawa kepada rampasan produk yang sama bernilai RM500,000.

Tambahnya, kesemua produk tersebut diambil dari sebuah kilang di Mergong, Kedah, untuk diedarkan kepada 303 stokis syarikat berkenaan.

"Syarikat pengedar mendapat keuntungan besar daripada penjualan produk ini kerana setiap satu kotak dibeli pada harga RM30 dari kilang dan dijual dengan harga RM200 untuk pasaran Semenanjung serta RM220 di Sabah dan Sarawak," katanya.

Katanya, syarikat itu didapati melakukan kesalahan di bawah Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 yang membawa hukuman denda RM50,000 bagi kesalahan pertama dan RM100,000 bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

Tiada ulasan: