Khamis, 4 Februari 2010

PPP: Kemelut Belum Selesai, Hasrat Ke Sarawak Pula?

BERNAMA


Parti Progresif Penduduk (PPP) Rabu mendakwa bahawa parti itu melebarkan sayapnya ke Sarawak bertujuan memperkukuhkan Barisan Nasional (BN) negeri dan bukan untuk bertanding dalam pilihan raya negeri akan datang.

Pengerusi PPP Sarawak John Lau berkata PPP akan memberi tumpuan kepada kawasan dengan majoriti penduduk Cina seperti Kuching dan Meradong yang merupakan kubu kuat pembangkang.

(Dalam pilihan raya negeri 2006, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) – sebuah parti komponen BN negeri – kalah lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu di Kuching, Sibu dan Meradong, daripada 19 kerusi DUN yang ditandingi.)

“Kami tidak akan bertanding dalam pilihan raya negeri akan datang. Kehadiran kami di sini juga bukan untuk menentang sesiapa (parti komponen BN). Kami mahu berkhidmat kepada rakyat dan membantu BN negeri memperoleh semula kerusi yang hilang. Itulah matlamat kami,” katanya pada sidang akhbar di sini Rabu.

PPP menubuhkan jawatankuasa penaja parti itu di Sarawak pada 2008. Ahad lepas, parti yang berpusat di Semenanjung itu melancarkan kempen menambah keanggotaan di sini selama enam bulan untuk mendapatkan 100,000 anggota.

Bagaimanapun, langkah PPP untuk melebarkan sayapnya di Sarawak mendapat sambutan dingin pemimpin BN negeri. Ada di antara mereka mengkritik PPP kerana tidak pernah mengadakan perbincangan dengan kepimpinan BN negeri berhubung keputusan parti itu untuk melebarkan sayapnya di sini.

Ditanya sebab PPP tidak memaklumkan kepada BN negeri mengenai hasratnya untuk memasuki Sarawak, Lau berkata perkara itu akan hanya dilakukan apabila parti itu merasakan telah mempunyai cukup keanggotaan untuk ditunjukkan kepada BN negeri.

“Kami mahu menunjukkan bahawa kami boleh melakukannya dan berapa banyakkah sokongan yang kami boleh raih. Presiden parti Datuk M. Kayveas, akan duduk berbincang dengan kepimpinan BN negeri sebaik sahaja parti menubuhkan cawangan secara rasmi di sini,” katanya sambil menambah PPP mempunyai 8,700 anggota di negeri ini.

Terdahulu, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Seri Dr James Masing berkata: “Padang di Sarawak ini sudah terlalu sesak (untuk PPP)”.

Dr Masing, yang juga Menteri Pembangunan Tanah Sarawak, berkata parti komponen BN yang berasal dari negeri ini sudah cukup baik untuk mengekalkan kerusi BN di Sarawak dan sebuah parti tambahan untuk BN negeri akan hanya mewujudkan masalah yang tidak perlu apabila tiba masanya untuk melobi kerusi.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Abdul Karim Rahman Hamzah berkata: “Anda (PPP) tidak dialu-alukan. Anda hanyalah satu bebanan kepada BN Negeri”, dan menambah PPP sepatutnya menyelesaikan krisis kepimpinannya terlebih dahulu sebelum mempromosikan dirinya sebagai “penyelesai masalah”.


Tiada ulasan: