Sabtu, 6 Februari 2010

Polis panggil Nasir minggu depan


BERNAMA



Polis Melaka akan memanggil bekas pegawai khas kepada Perdana Menteri, Datuk Nasir Safar bagi melengkapkan siasatan kes berikutan kenyataan beliau yang dikatakan berbaur perkauman.

Ketua Polis Melaka Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof berkata Nasir akan dipanggil untuk rakaman percakapan secepat mungkin pada Isnin atau Selasa minggu depan.

"Sehingga kini siasatan kes telah lengkap 85 peratus dan hanya menunggu percakapan beliau sahaja," katanya kepada pemberita di Melaka semalam.

Katanya siasatan kes mengikut Akta Hasutan 1948 dan sehingga kini polis telah mengambil keterangan daripada 30 saksi termasuk anggota Dewan Undangan Negeri, peserta kursus dan wartawan.

Beliau berkata sebanyak 45 laporan polis telah dibuat di seluruh negara berhubung kenyataan Nasir, 61, yang juga timbalan ketua Umno Tanjung Piai, Johor.

Nasir dalam satu kenyataan kepada Bernama semalam meminta maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia berhubung ceramahnya yang dianggap bersifat perkauman.

Beliau sedar mengenai pelbagai reaksi selepas ucapan yang dibuatnya pada Seminar 1Malaysia di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka Selasa lepas.


Tiada ulasan: