Selasa, 9 Februari 2010

PKR sasar 500,000 ahli menjelang Jun

Mohd Nor Yahya


TANAH MERAH: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mensasar keahlian parti itu mencapai 500,000 orang pada pertengahan tahun ini dengan kemasukan ahli baru berterusan dari Perlis sehingga ke Sabah, kata Setiausaha Agungnya, Saifudin Nasution Ismail.

“Kekuatan PKR setakat ini ialah 360,000 ahli yang terdiri daripada orang Melayu, India dan Cina. Ini juga melambangkan rakyat terus menolak Umno dan Barisan Nasional,” katanya pada ceramah sempena kemasukan beramai-ramai bekas ahli Umno bersama PKR di Kampung Kuala Paku, Gual Ipoh, malam tadi.

Pada majlis itu, bekas Penyelia Pembangunan Mukim (Penghulu Umno) Kuala Paku, Zainal Abidin Matmin menyerah 128 borang permohonan menyertai PKR kepada Saifuddin.

Beliau berkata, sasaran untuk mencecah sehingga 500,000 ahli dalam tempoh terdekat dijangka menjadi kenyataan berdasarkan kepada perkembangan sekarang.

Beliau juga berkata, PKR akan mengadakan mesyuarat agung tahunan pada Mac membabitkan sebanyak 202 cabang manakala Kongres Nasional akan diadakan pada Mei hadapan.

Saifudin berkata, kemasukan beramai-ramai bekas ahli Umno di Tanah Merah kerana mereka kecewa dengan krisis dalaman parti itu yang tiada penghujungnya.

Krisis peringkat bahagian Umno paling ketara berlaku di Rantau Panjang, Kuala Krai dan Gua Musang.

Turut hadir Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim,anggota Parlimen Tanah Merah, Amran Abdul Ghani dan Adun Gual Ipoh, Wan Yusuff Wan Mustafa.

Tiada ulasan: