Khamis, 18 Februari 2010

PKR nafi hantar Zul ke Korea, patut bela diri


Oleh G. Manimaran

KUALA LUMPUR — Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin yang sepatutnya menghadap lembaga disiplin hari ini, memilih untuk “lebih mementingkan urusan peribadi” dengan berada di Korea Selatan, kata Timbalan Presiden PKR Dr Syed Husin Ali.

“Zulkifli memilih untuk lebih mementingkan urusan pribadinya ke Korea daripada hadir di hadapan lembaga disiplin untuk penyiasatan dan membela diri.

“Beliau tidak harus menyalahkan mana-mana pihak,” kata Syed Husin (gambar) menerusi kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi hasil perbincangan mesyuarat Biro Politik parti itu malam tadi.

Kata beliau biro telah membincangkan beberapa perkara termasuk kes-kes disiplin.

“Berhubung kes Zulkifli, Biro menyerahkan kepada lembaga disiplin untuk membuat keputusan dan menyampaikannya kepada parti dengan seberapa segera.

“Lembaga diminta oleh Biro Politik untuk mengambil kira semua kenyataan melalui media yang telah dibuat oleh Zulkifli selepas surat tunjuk sebab dihantar kepadanya,” katanya.

Syed Husin menambah Biro Politik mengambil perhatian bahawa lembaga disiplin telah menghantar surat tunjuk sebab kepada Zulkifli pada 8 Feb melalui faks, emel dan surat berdaftar.

Katanya beliau diminta menjawab sebelum 12 Feb dan telah memberitahu sebelum 15 Feb, pilihan beliau untuk tarikh pendengaran kes yang dicadangkan oleh lembaga iaitu hari ini atau 23 Feb.

“Lembaga disiplin tidak mendapat apa-apa jawapan daripada Zulkifli apabila kedua-dua tarikh 12 dan 15 Feb luput.

“Pada 16 Feb Zulkifli memberitahu melalui media beliau tidak dapat hadir kerana ke Korea dan kenyataan beliau kemudian disalinkan kepada Setiausaha Agung, Saifuddin Nasution,” katanya.

Syed Husin juga berkata Zulkifli pergi ke Korea Selatan atas urusan sendiri dan bukan dihantar oleh parti.

“Parti tidak tahu-menahu tentang pemergian beliau. Beliau tidak pernah memberitahu lembaga disiplin mengenainya.

“Beliau juga tidak pernah mencadangkan tarikh lain untuk pendengaran. Ini nampaknya menjadi cara biasa Zulkifli.

“Dalam kes yang lalu beliau memberi alasan tidak berada di Kuala Lumpur juga untuk mengelak hadir mengikut tarikh yang ditetapkan oleh lembaga disiplin ketika itu,” katanya.

Tiada ulasan: