Ahad, 14 Februari 2010

PKR cabar 5 wakil rakyat termasuk Zahrain kosongkan kerusi

Oleh G. Manimaran


KUALA LUMPUR, Feb — Lima wakil rakyat, termasuk yang terbaru Ahli Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Hashim yang keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) kelmarin, dicabar mengosongkan kerusi mereka segera jika mendakwa kecewa dengan perjuangan parti dan pucuk kepimpinan.

Oleh itu kata Pengarah Pilihan Raya PKR Fuziah Salleh, kesemua lima wakil berkenaan wajar memberi kembali ruang kepada rakyat untuk memilih wakil yang dirasakan sesuai menerusi pilihan raya kecil.

“Saya cabar Zahrain dan semua wakil rakyat PKR yang telah keluar parti sebelum ini letak jawatan segera supaya pilihan raya kecil boleh diadakan.

“Amatlah wajar rakyat diberi peluang untuk memilih wakil yang mereka tahu mewakili parti yang rakyat pilih,” kata beliau kepada The Malaysian Insider menerusi teks SMS dari Los Angeles, Amerika Syarikat hari ini.

Selain Zahrain iaitu satu-satunya Ahli Parlimen, empat Adun PKR yang telah keluar parti dengan mengisytiharkan diri mereka anggota Bebas ialah Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang), Mohd Osman Jailu (Changkat Jering), Badrul Hisham Abdullah (Pelabuhan Klang) dan Mohd. Radzhi Salleh (Lunas).

The Malaysian Insider difahamkan kemungkinan akan ada lima Ahli Parlimen dan beberapa Adun keluar PKR menjelang hujung bulan ini.

Zahrain mengumumkan keluar PKR berkuat kuasa kelmarin kerana kecewa dengan perjuangan parti itu dan hilang kepercayaan terhadap penasihat parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain itu, beliau yang mengisytiharkan dirinya sebagai Ahli Parlimen Bebas berkata keputusan itu dibuat kerana tidak yakin dengan kerajaan Pulau Pinang pimpinan Lim Guan Eng yang dianggapnya diktator dan berfikiran ala komunis

Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan berkata, Zahrain harus sedar bahawa rakyat memilih beliau pada pilihan raya umum ke-12 bukan atas kapasiti “diri dia sebagai Zahrain.”

“Akan tetapi di atas Zahrain mewakili PKR.

“Sekiranya Zahrain sudah kecewa dengan perjuangan parti dan pucuk pimpinan, maka sudilah sekiranya Zahrain lepaskan jawatan Ahli Parlimen dan bukan hanya setakat keluar parti,” katanya lagi.

Fuziah berkata, Zahrain dan empat Adun berkenaan dialu-alukan bertanding semula, jika undang-undang membenarkan mereka berbuat demikian.

“Kalau betul-betul rakyat mahukan mereka sebagai individu, dan sekiranya mereka telah memberi khidmat yang baik sebelum ini, tentu sekali mereka akan menang walaupun sebagai calon bebas.

“Sebaliknya, sekiranya rakyat pilih wakil parti, maka wakil parti yang akan menang,” katanya.

Fuziah menambah selaku pengarah pilihan raya beliau akan mengambil tanggungjawab untuk memastikan calon PKR berwibawa dan mengikut kriteria yang telah ditetapkan sekiranya mereka meletak jawatan.

Semalam Zahrain menegaskan beliau akan kekalkan kerusi itu sehingga pilihan raya umum akan datang.M/I

Tiada ulasan: