Rabu, 10 Februari 2010

Peratus majikan tidak mencarum menurun

BERNAMA


KUALA LUMPUR - Peratusan majikan yang tidak mencarum dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menurun dari 1.75 peratus pada suku ketiga tahun lepas kepada 1.61 peratus pada suku keempat tahun sama.

Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar berkata, penurunan itu menunjukkan walaupun dalam keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan, majoriti majikan terus komited menjalankan tanggungjawab membayar caruman KWSP pekerja mereka dengan teratur dan tepat pada masa.

“Ini barangkali disebabkan oleh tindakan penguatkuasaan yang diambil KWSP selain daripada kesedaran majikan sendiri mengenai persaraan yang selesa untuk pekerja mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, sepanjang Oktober hingga Disember tahun lalu, sebanyak 187 majikan dikenakan denda antara RM1,000 hingga RM7,000 di bawah Seksyen 43(2) Akta KWSP 1991 kerana tidak mencarum.

Nik Affendi berkata, pada suku tahun tersebut juga, sebanyak 169 kes sivil dan 2,313 kes jenayah difailkan di mahkamah terhadap majikan kerana tidak mencarum.

"KWSP juga mengemukakan 221 nama pengarah syarikat kepada Jabatan Imigresen bagi menahan mereka dari meninggalkan negara seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 39, Akta KWSP 1991," katanya.

“Di bawah Akta KWSP 1991, semua majikan adalah diwajibkan untuk mencarum bagi pihak pekerja mereka sebelum atau pada 15 hari bulan setiap bulan, atau akan dikenakan tindakan undang-undang.

“KWSP memandang serius berkaitan caruman dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan seperti yang diperuntukkan di bawah Akta KWSP termasuk tindakan melevi dan sivil terhadap majikan yang tidak mencarum dan pengarah syarikat terbabit,” katanya.

Beliau berkata, lazimnya, mahkamah akan memberi majikan maksimum enam kali bayaran ansuran untuk menjelaskan tunggakan caruman dan dalam tempoh berkenaan KWSP akan terus memantau majikan terbabit bagi memastikan tunggakan dibayar sepenuhnya.

“KWSP akan mengkreditkan tunggakan itu ke dalam akaun ahli setelah majikan membayar semua tunggakan tersebut.

“Bagaimanapun, adalah penting bagi ahli untuk turut memainkan peranan dengan sentiasa menyemak penyata kira-kira mereka yang boleh diperoleh melalui kemudahan yang disediakan seperti kios dan akaun peribadi online ahli, i-Akaun.

“KWSP pula akan terus memantau majikan bagi memastikan caruman dibayar secara teratur agar simpanan persaraan ahli kekal dilindungi,” kata Nik Affendi.

Tiada ulasan: