Khamis, 11 Februari 2010

Pengguna lebuh raya diawasi JPJ, polis 24 jam

Oleh Nurhayati Abllah


TAPAH: Pengguna lebuh raya termasuk lebih 12,000 pemandu bas ekspres di negara ini diminta berfikir panjang sebelum melanggar undang-undang jalan raya kerana mereka akan diawasi 24 jam oleh anggota penguat kuasa terutama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis berpakaian preman, selain pengguna jalan raya lain yang diminta menjadi ‘mata dan telinga’ penguat kuasa.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan, berkata JPJ menggunakan pendekatan penyamaran anggota di semua laluan lebuh raya dan Jalan Persekutuan sepanjang sambutan Tahun Baru Cina ini bagi mengurangkan kesesakan jalan raya, sekali gus mengumpul data lebih tepat sebelum mengeluarkan saman atau notis arah periksa kepada pemandu yang melanggar peraturan.

“Anggota kami yang berpakaian preman dan menaiki kenderaan biasa akan mengekori bas atau kenderaan yang melakukan kesalahan sebelum diarah berhenti di hentian Rehat dan Rawat (R&R) atau plaza tol berdekatan untuk diperiksa serta disaman.

“Langkah ini juga diambil bagi mengurangkan risiko kes penipuan membabitkan individu menyamar sebagai anggota penguat kuasa yang kemudian melakukan jenayah seperti menyamun atau merompak,” katanya selepas meninjau Ops Sikap XXI JPJ di Hentian R&R Tapah, di sini, malam kelmarin.

Ops berkenaan yang berakhir 22 Februari ini membabitkan 1,200 anggota penguat kuasa JPJ yang bertanggung jawab mengawasi pemandu bas ekspres yang melanggar undang-undang.

Sepanjang tinjauan empat jam bermula jam 8 malam itu, empat bas ekspres ditahan serta diperiksa termasuk dua daripadanya diberi notis arah periksa kerana kesalahan menggunakan tayar corak bunga kurang dari 1.6 milimeter dan pedal minyak bermasalah.

Solah berkata, fokus Ops Sikap JPJ kali ini adalah tiga perkara utama iaitu penguatkuasaan di 35 terminal bas sepanjang tempoh 24 jam, penguatkuasaan secara penyamaran dan pemeriksaan bas di depoh atau bengkel.

“Selain penguatkuasaan, kita harap kerjasama sepenuhnya daripada pengguna jalan raya dan orang awam untuk memberi maklumat bagi mengenal pasti individu melanggar peraturan bagi keselesaan semua pihak ke emel jabatan, aduan@JPJ.com.my dengan menyertakan data lengkap termasuk tarikh, masa, nombor kenderaan dan jenis kenderaan pemandu terbabit,” katanya.

Tiada ulasan: