Sabtu, 20 Februari 2010

Pemuda PR sahut cabaran Umno, debat isu Melayu Pulau Pinang

Ali Hashim


KEPALA BATAS: Pemuda Pakatan Rakyat Pulau Pinang menyahut cabaran untuk berdebat dengan mana-mana kompulan termasuk Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Pulau Pinang (DPMPP), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Pergerakan Pemuda Umno Pulau Pinang berhubung dakwaan masyarakat Melayu di Pulau Pinang dipinggirkan.

Ketua Angkatan Muda Keadilan Negeri Pulau Pinang, Amir Md Ghazali berkata satu surat akan dihantar kepada DPMPP,GPMS dan juga Pemuda Umno Pulau Pinang untuk menjemput wakil mereka sebagai panel dalam debat yang dijangka akan diadakan dalam bulan Mac yang akan datang.

"Kita daripada Pemuda Pakatan Rakyat sedikit pun tidak gentar dengan dakwaan mereka. Kita sanggup untuk bersemuka dengan mereka dalam debat yang mereka cadangkan.

"Kita sendiri akan menyediakan tempat untuk diadakan debat. Mereka akan dijemput secara hormat bagi menjadi panel dalam debat yang dijangka akan diadakan di tapak ekspo Seberang Jaya tidak lama lagi.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan dimajlis ceramah di Dewan Millenium, Kepala Batas.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Rosidi Hussain, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Ng Wei Aik, Exco AMK Pusat, Amizudin Ahmat, dan kepimpinan Pemuda Pakatan Rakyat Pulau Pinang yang lain.

Sebelum ini ketiga-tiga kumpulan itu mencabar Pulau Pinang berdebat berhubung dakwaan mereka bahawa nasib orang Melayu dipinggirkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat negeri itu.

"Kita ingin lihat setakat mana kebenaran dakwaan mereka bahawa Melayu Pulau Pinang dipinggirkan dalam tempoh hampir 24 bulan PR memerintah jika dibandingkan dengan lebih daripada 50 tahun Umno dan Barisan Nasional memerintah Pulau Pinang," katanya lagi.

Tiada ulasan: