Selasa, 9 Februari 2010

Pelajar pemastautin tetap tidak dapat bersekolah

Salhan K Ahmad



Darshin Ponnuthurai, hanya sempat bersekolah hingga tingkatan satu di SMK Bandar Baru Ampang tahun lalu.

Ibu bapa angkat kepada gadis berusia 14 tahun mendakwa pelajar tersebut kini tidak dapat meneruskan persekolahan di SMK Taman Tasik, Ampang akibat 'didiskriminasi.'

Bapa angkatnya, Ponnuthurai Manickam berkata beliau telah melakukan "segalanya" untuk memastikan anak angkatnya - yang berstatus pemastautin tetap itu - berjaya meneruskan persekolahannya.

"Saya sudah pergi ke Jabatan Pelajaran Negeri di Shah Alam untuk menghantar borang 'merah jambu,' tapi sekarang masih belum dapat jawapan," katanya. Beliau ke jabatan tersebut pada 11 Januari lalu.

Borang 'merah jambu' itu merupakan borang permohonan kebenaran untuk bersekolah bagi pemastautin tetap.

Katanya, beliau setakat ini masih menunggu jawapan daripada jabatan tersebut untuk membolehkannya mendaftar Darshin ke sekolah.

Menurutnya lagi, beliau juga belum membayar levi RM240 yang ditetapkan bagi pemohon berstatus pemastautin bersekolah di negara ini, kerana masih jawapan dari jabatan berkenaan.

"Mereka beri saya pelbagai alasan. Bila saya tanya, mereka kata permohonan saya masih berada di kementerian," katanya lagi.

Tambahnya, beliau juga merujuk perkara itu kepada Biro Pengaduan Awam di Jabatan Perdana Menteri.

"(Biro Pengaduan Awam) kata perkara ini sekarang bawah pertimbangan Kementerian Dalam Negeri," katanya dalam satu sidang media di pejabat Human Right Party Malaysia (HRPM) di Kuala Lumpur hari ini.

Jelasnya, Darshin pada asalnya dilahirkan di Hospital Bersalin Kuala Lumpur dan kemudiannya dibesarkan di Rumah Kanak-kanak Tengku Badriah, Kuala Lumpur.

Menurutnya, beliau kemudiannya mengambil hak jagaan bagi kanak-kanak tersebut bersama isterinya Kaliaswari Ramachandran, pada Mac 2000.

Katanya lagi, Darshin yang pada asalnya bernama Devi Sharmila itu tidak menghadapi masalah sepanjang menjalani persekolahan di SK Pandan Indah.

"Masalah ini semua timbul lepas masuk sekolah menengah kerana mereka minta kad pengenalan," katanya lagi.

Bercakap di sidang media sama, pemimpin HRPM, S Jayathas (bawah, berbaju jingga) berkata pihaknya memberi tempoh selama dua bulan kepada Jabatan Pendaftaran Negara untuk mengeluarkan kad pengenalan baru kepada Darshin.

Katanya, Darshin tidak sepatutnya memegang kad pengenalan pemastautin tetap kerana beliau dilahirkan di negara ini.

Menurutnya, walaupun bapa sebenar Darshin tidak dapat dikesan, ibu sebenar kepada Darshin masih merupakan warganegara Malaysia.

"Kita berjaya kesan ibu sebenar Darshin bernama Anjalai Ponusamy. Mengikut perlembagaan Malaysia, Darshin sepatutnya seorang warganegara," kata Jayathas yang juga ketua penerangan penaja HRPM.

Katanya lagi, Biro Pengaduan Awam mengeluarkan jawapan kepada Ponnuthurai bahawa keputusan permohonan Darshin itu kini di berada di bawah pertimbangan KDN.

"Pertimbangan apa? Mengikut perlembagaan, semua orang yang lahir di Malaysia selepas September 1962 secara automatik menjadi warganegara sekiranya salah seorang ibu bapanya adalah warganegara atau pemastautin tetap.

"Jadi kita beri tempoh selama dua bulan untuk JPN mengeluarkan kad pengenalan warganegara kepada Darshin. Mereka tidak berhak untuk menghalang Darshin daripada mendapat pendidikan," katanya lagi.

Jelasnya, Ponnuthurai juga enggan menjelaskan bayaran RM240 itu kerana beliau tidak perlu berbuat demikian ketika mendaftar Darshin ke tingkatan satu.

"Semasa (Darshin) daftar ke tingkatan satu dia tidak perlu bayar RM240, sekarang kenapa dia perlu bayar?," katanya.

Tiada ulasan: