Rabu, 10 Februari 2010

Pasca 9 Feb: Pakatan, BN Perak tumpu strategi lebih berlembut

DETIK DAILY


Keputusan Ma [Penganalisis politik menjangka BN akan menukar strategi politik berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan semalam. - Gambar Reuters] hkamah Persekutuan mengenai Menteri Besar Perak yang sah semalam mengiktiraf status quo di negeri itu, tetapi para penganalisis politik percaya keputusan itu akan menyebabkan beberapa perubahan strategi politik parti-parti yang terbabit.

Yang akan diperhatikan dengan teliti ialah tindakan seterusnya daripada Pakatan Rakyat (PR) — sama ada mereka akan meneruskan politik konfrontasi atau memilih pendekatan lebih berlembut.

“Jika mereka menghormati keputusan, mereka akan kurang bersikap konfrontasional. Rakyat mungkin akan memberikan sedikit simpati kepada PR dan pada masa sama mereka dapat mengekal atau mungkin pula mendapat sokongan tambahan dengan menonjolkan diri mereka sebagai mangsa,” kata seorang penganalisis politik Dr Sivamurugan Pandian.

“Rakyat lebih memberi pertimbangan kepada isu bila hendak menentukan sokongan mereka dan jika PR terus bersikap konfrontasional di dewan negeri selepas keputusan mahkamah (semalam), ini boleh memakan diri.

“Oleh itu, saya jangka PR akan mengubah strategi mereka untuk lebih berlembut. Saya juga melihat kedua-dua pihak akan akhirnya mengambil pendekatan ini. Yang berbeza ialah jenis pengundi yang hendak mereka dapatkan,” kata beliau dipetik Bernama.

Sivamurugan percaya BN akan lebih bersikap “memujuk” dalam menangani sokongan masyarakat Cina bandar sementara PR akan berusaha mendapat sokongan Melayu yang merosot.

Seorang lagi penganalisis politik Datuk Cheah See Kian berpendapat PR akan menukar strategi yang membolehkan PAS memainkan peranan sebagai ketua dalam barisan pembangkang di negeri itu, dan bukan DAP.

“Dengan berbuat demikian, ia akan memberi gambaran di kalangan pengundi Melayu bahawa barisan pembangkang banyak diketuai PAS atau Melayu, dan bukan DAP,” kata beliau.

Tinjauan pendapat oleh Merdeka Centre yang diterbitkan minggu lepas menunjukkan bahawa BN di bawah Datuk Seri Zambry Abdul Kadir kelihatan dapat melakukan penembusan signifikan, sementara pendahulunya dari PR Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mengatasi Zambry dalam soal sokongan masyarakat Cina, dengan masing-masing mendapat sokongan 59 peratus dan 16 peratus.

Zambry sebaliknya mendahului dengan selesa dari segi sokongan Melayu, dengan mendapat 67 peratus berbanding Nizar 35 peratus.

Buat penganalisis James Chin, keputusan mahkamah ini juga tidak mengubah senario politik di Perak oleh kerana menurut beliau memang ramai menjangkakan keputusan itu.

“Senario politik kembali seperti dulu. PR akan meneruskan road show mereka dan BN tetap terus membuat persiapan untuk pilihan raya umum akan datang. Persoalannya ialah apa akan terjadi pada pilihan raya itu nanti?,” katanya.

Oleh itu, tidak menghairankan jika PR memperbaiki imej mereka di kalangan pengundi Melayu dan BN berusaha memperbaiki imej di kalangan pengundi Cina bandar sebagaimana disebut oleh Timbalan Presiden Gerakan dan pengerusi negeri Datuk Chang Ko Youn.

“Sementara sokongan Melayu dan India untuk BN kelihatan bertambah baik, kita perlu turun padang dan membetulkan imej negatif BN di kalangan pengundi Cina bandar.

“Bagaimanapun, kami percaya ini sedang berubah oleh kerana Zambry telah melakukan banyak usaha untuk memperbaiki imej BN. Dr Zambry telah menetapkan hala tuju dan kami harap dapat mempertingkatkan momentum dalam dua tahun akan datang,” kata beliau, dan menambah BN menyasarkan untuk menambah sokongan masyarakat Cina dari kira-kira 20 peratus sekarang kepada lebih 30 peratus.

“Saya jangka mereka (PR) tidak akan dapat menerima kekalahan dan mencetuskan masalah di sidang dewan negeri. Jika ini berlaku ia akan menunjukkan mereka hanya berminat mendapatkan kedudukan dalam kerajaan,” kata beliau.M/Insider

Tiada ulasan: