Isnin, 8 Februari 2010

Pas Kelantan minta siasat blogger hina Tok Guru

SINAR HARIAN ONLINE


KOTA BHARU - Pas Kelantan semalam, membuat laporan polis terhadap sebuah laman yang beralamat maya jeffrydamien09 atas dakwaan menghina Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Laporan itu dibuat Setiausaha Keselamatannya, Mejar (B) Mohamad Ibrahim kira-kira jam 11.45 pagi.

Mohamad berkata, laporan itu dibuat bertujuan meminta pihak berkuasa menyiasat identiti penulis blog (blogger) berkenaan dan seterusnya mengambil tindakan sewajarnya.

“Laporan ini dibuat kerana saya merasakan ia adalah satu tanggungjawab bagi membendung daripada gejala yang dilihat berlawanan di antara kumpulan. Ini yang kita nak elak sebenarnya.

“Tindakan blogger berkenaan bercanggah dengan undang-undang dan boleh mencetuskan provokasi melampau,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu di sini.

Blogger, jeffrydamien09 menyiarkan gambar yang diubah suai oleh blogger terbabit yang dianggap melampau dan mengandungi unsur penghinaan keterlaluan serta fitnah terhadap Nik Abdul Aziz.

Hadir sama membuat laporan itu, lebih 20 ahli Pas termasuk Naib Ketua Pemuda Pas negeri, Hisham Fauzi.

Hisham ketika ditemui mendakwa laman blog tersebut ditulis oleh seorang blogger yang menggunakan nama Jeffry Damien.

Menurutnya, dalam blognya, Jeffry membuat beberapa ilustrasi grafik yang mana Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan, sedang diliwat oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Pihak kami memandang perbuatan ini sebagai sesuatu yang tidak wajar dilakukan dan bersifat provokatif yang boleh menyebabkan berlakunya ketidakstabilan politik dalam negara kita.

“Ia juga adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab, sebab itulah kami membuat laporan polis. Kami berharap polis akan menyiasat dan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap blogger, Jeffry Damien ini kerana bertindak di luar batasan sebagai seorang blogger,” katanya.

Hisham berkata, pihaknya juga memohon supaya satu siasatan dibuka di bawah Akta Multimedia, Akta Fitnah dan Kanun Keseksaan yang mempunyai peruntukan jelas mengenai perbuatan-perbuatan fitnah seperti itu.

“Bukan satu gambar saja malah grafik lain yang dibuat secara bertindih (super impose) dilakukan secara tidak bertanggungjawab dan mempunyai unsur lucah yang melampau.

"Jika tidak dibendung, saya risau ia boleh menimbulkan ketegangan di kalangan penyokong parti di negeri ini,” katanya.

Hisham berkata, pihaknya mula menyedari penyebaran gambar tersebut dua hari lepas.

Menurutnya, tujuan penyebarannya adalah untuk memburuk-burukkan imej Tok Guru (Nik Abdul Aziz) dan menyentuh mengenai perbicaraan yang sedang berlangsung di mahkamah sekarang. Kami merasakan ia adalah satu tindakan yang subjudis terhadap kes perbicaraan (Datuk Seri Anwar Ibarhim) kini.

“Kita berharap satu tindakan segera diambil terhadap tindakan ini,” katanya.

Tiada ulasan: