Sabtu, 6 Februari 2010

Parti Komponen BN Diarah Ambil Langkah Segera Selesai Masalah

BERNAMA

ALOR SETAR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Sabtu mengarahkan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) yang bermasalah supaya mengambil langkah segera menyelesaikan masalah parti mereka.

Katanya BN tidak mahu masalah dalaman sesebuah parti komponennya membawa kesan negatif dan menjejaskan sokongan rakyat terhadap BN.

Beliau berkata pemimpin parti terlibat harus menyelesaikan masalah mereka bagi memudahkan usaha BN mengembalikan keyakinan rakyat.

"Walaupun masalah dalaman parti-parti terlibat tidak menjejaskan urusan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak namun jika masalah mereka selesai, lebih mudah untuk mengembalikan keyakinan rakyat," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan program Juara Rakyat peringkat negeri Kedah di sini hari ini, beliau berkata MCA juga diarah mengambil langkah segera menyelesaikan masalah dalam kerana parti itu harus memberi keyakinan terhadap kaum Cina di negara ini.

Dua buah parti yang menghadapi krisis kepimpinan berpanjangan sejak tahun lepas ialah MCA dan Parti Progresif Penduduk (PPP).

Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin berkata program Juara Rakyat adalah satu program bagi membuktikan kepada rakyat bahawa BN adalah parti yang sebenarnya bekerja untuk rakyat.

Katanya program itu tidak hanya menumpukan penyelesaian masalah orang Melayu, sebaliknya adalah program turun padang untuk menyelesaikan masalah semua kaum.

Beliau berkata setelah rakyat di beberapa buah negeri memberi mandat kepada parti pembangkang untuk memerintah, kini mereka boleh menilai parti manakah yang sebenarnya membuat kerja untuk rakyat.

"Rakyat telah terpengaruh dengan fitnah dan tohmahan yang dilemparkan oleh pembangkang dan sekarang mereka boleh melihat belang sebenar parti pembangkang (setelah diberi kuasa memerintah)," kata beliau.

Timbalan Perdana Menteri berkata sebagai contoh, rakyat boleh melihat bagaimana PAS mentadbir di Kedah dan kegagalan mereka menyelesaikan masalah rakyat.

Muhyiddin berkata begitu juga masalah di Pulau Pinang apabila pakatan pembangkang kini bergaduh sesama sendiri kerana tidak berpuas hati dengan kepimpinan Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri.

"Ini membuktikan niat sebenar pakatan mereka dan telah terburailah apa niat sebenar mereka," kata beliau.

Timbalan Perdana Menteri berkata oleh itu, rakyat haruslah kembali menyokong BN kerana hanya BN sahaja yang terus membantu rakyat.

"Apa yang penting (bagi BN) ialah kita dekati semula rakyat, ambil tahu masalah rakyat dan selesaikan masalah mereka," katanya.

Tiada ulasan: