Jumaat, 5 Februari 2010

Mustafa: Pertelagahan Tuan Ibrahim-Abdullah berakhir

Jimadie Shah Othman


Ketegangan dalam PAS akibat kritikan keras seorang exco Pemudanya terhadap kewibawaan jawatankuasa disiplin dianggap telah ditutup kerana pemimpin berkenaan telah memohon maaf, kata setiausaha agung PAS, Datuk Mustafa Ali (bawah).

NONEMenurutnya, exco tersebut, Abdullah Abdul Karim dan Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga pengerusi jawatankuasa tersebut, masing-masing telah berhubung bagi menyelesaikan ketegangan tersebut.

"Saya sudah semak. Abdullah dan Tuan Ibrahim pun sudah saling berhubung.

Beliau (Abdullah) pun sudah minta maaf dan berkata tidak bermaksud (mengkritik) begitu.

"Jadi tutup keslah," katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Mustafa diminta mengulas kemungkinan tindakan yang bakal dikenakan terhadap Abdullah kerana mempertikaikan keputusan jawatankuasa disiplin parti, yang menggantung jawatan ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad di pelbagai peringkat.

Keputusan kontroversi pada 29 Januari lalu dikritik hebat di blog-blog yang mengamati politik PAS dan dianggap berat sebelah apabila seorang lagi tertuduh, Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali hanya diberikan surat amaran sahaja.

Kemuncak ketidakpuasan hati itu, Abdullah - yang juga timbalan ketua Pemuda Pahang dan ahli jawatankuasa PAS negeri di bawah pimpinan Tuan Ibrahim - sendiri secara terbuka mengeluarkan kenyataan menghentam keputusan tersebut.

Sementara Tuan Ibrahim, selain mempertahankan keputusan jawatankuasa yang dipimpinnya itu, turut menyindir Abdullah dengan menuduhnya "kritik kemudian tinggal" dalam blognya kelmarin.

Tuan Ibrahim juga mendedahkan "Pemuda PAS akan melakukan sesuatu" dan "pejabat (setiausaha) agung juga akan bertindak" terhadap Abdullah.

Sementara itu, Abdullah ketika dihubungi Malaysiakini mengakui telah berhubung dengan Tuan Ibrahim berhubung ketegangannya itu dengan Tuan Ibrahim.

Bagaimanapun Abdullah berkata beliau tetap berpegang kepada tegurannya dan tidak mahu menariknya kembali walaupun sepatah.

"Saya minta beliau baca kembali kenyataannya (di blog) kerana faktanya yang berkaitan dengan saya tidak betul.

"Buat masa ini saya tidak mahu keluarkan kenyataan, Saya tidak mahu keruhkan suasana," katanya ketika dihubungi semalam.

"Saya juga telah hantar emel kepada pimpinan (PAS) pusat, dan buat salinan kepada naib-naib presiden, termasuk setiausaha agung, minta beliau (Tuan Ibrahim) perbetulkan kerana ia amat tidak tepat."

Abdullah enggan mendedahkan "perkara yang tidak tepat itu" kepada media buat masa ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Khalid yang sebelum ini akur dan diam kelihatan memulakan pencaknya dengan 'menyiku' keputusan tersebut.

"Saya sedih kerana hasil keputusan jawatankuasa disiplin, imej PAS tercemar. Selama ini PAS dilihat sebagai 'weak link' di Selangor.

"Apabila disebut kerajaan PR akan jatuh kerana ada yang akan melompat, semua melihat pada PAS," katanya.

Menulis di blognya lewat petang semalam, pemimpin PAS yang terkenal dengan ketegasan dan kelantangannya itu turut membela Abdullah yang bermati-matian mempertahankannya.

"Saudara Abdullah, seorang AJK Pemuda (PAS) Pusat yang tidak langsung berkepentingan dalam isu ini menjadi marah. Apa sebabnya? Kita harus tanya diri kita sendiri.

"Jangan pula kita menempelaknya dengan ugutan tindakan atau tuduhan tidak bertanggung jawab dengan mengatakan 'kritik kemudiannya tinggal'," tulis Khalid.

Tiada ulasan: