Sabtu, 13 Februari 2010

Muhyiddin: Kurikulum baru Bahasa Inggeris tahun depan

BERNAMA


BESUT — Bermula tahun depan, kerajaan akan memperkenalkan kurikulum baru bagi memperkasakan lagi penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar sekolah.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar) yang juga Menteri Pelajaran berkata kurikulum baru itu telah siap diteliti dan satu projek printis juga telah dijalankan yang setakat ini memberi keputusan yang baik.

“Kita nak melihat bagaimana anak-anak kita menguasai Bahasa Inggeris dengan lebih baik lagi dengan menggunakan pendekatan yang sesuai. Kurikulum ini akan mula diguna pakai tahun depan pada anak-anak kita yang masuk ke Sekolah Tahun Satu.

“Perubahan (mungkin) pada bentuk atau formula yang ringkas seperti language art, atau pada komponen grammar tetapi dibuat secara menarik atau fun learning dan kita tekankan soal boleh bertutur menggunakan apa yang disebut phonics yang betul supaya ada satu perkara yang standard iaitu Bahasa Inggeris British yang standard,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Kecemerlangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) untuk Daerah Besut di sini hari ini.

Muhyiddin berkata untuk tujuan itu, kerajaan akan mengambil 365 guru Bahasa Inggeris dari luar negara pada Jun ini untuk ditempatkan di beberapa zon di seluruh negara bagi melatih guru-guru Bahasa Inggeris mengikut kurikulum baru yang akan dilaksanakan itu.

“Kita percaya dengan cara begini, walaupun kita tidak meneruskan PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris) tetapi pembelajaran Bahasa Inggeris itu adalah lebih baik lagi,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan juga merancang untuk memanggil guru-guru bersara yang mempunyai kemahiran dan kebolehan dalam Bahasa Inggeris untuk membantu mengajar subjek berkenaan.

Tiada ulasan: