Jumaat, 19 Februari 2010

MPK hanya lulus poster bersaiz kecil

Oleh ABDUL YAZID ALIAS


SHAH ALAM - Majlis Perbandaran Klang (MPK) akhirnya meluluskan permit poster untuk sambutan Tahun Baru Cina Peringkat Kebangsaan di Pandamaran, Klang Sabtu ini tetapi hanya untuk poster bersaiz kecil.

Pengerusi Penyelaras Barisan Nasional (BN) Parlimen Klang, Datuk Dr. Teh Kim Poo berkata, kelulusan itu diterima daripada MPK kira-kira pukul 11 pagi ini selepas membuat permohonan semalam.

Bagaimanapun menurutnya, permit untuk poster papan iklan di Simpang Lima, Klang tidak dibenarkan oleh MPK.

Poster yang terdapat gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan ucapan selamat datang ke lokasi tersebut telah diturunkan oleh MPK pada Sabtu lalu kerana tidak memiliki permit.

''Kita cuma dapat kelulusan untuk poster sambutan yang ditampal di tepi jalan dan bersaiz kecil sahaja tetapi papan iklan bersaiz besar tidak diluluskan MPK," katanya.

Kim Poo yang juga Ketua MCA Bahagian Klang berkata demikian mengulas status permohonan pihaknya selaku penganjur sambutan itu untuk menaikkan poster serta papan iklan bagi menarik orang ramai serta memeriahkan lagi sambutan Tahun Baru Cina Peringkat Kebangsaan pada 20 Februari ini.

Semalam, ketika bercakap kepada pemberita, beliau memberitahu pihaknya kesal dengan tindakan MPK yang didakwa tidak melayan permohonan mereka untuk mendapatkan permit menampal poster sempena sambutan perayaan itu.

Tindakan MPK itu dikatakan bercanggah dengan kenyataan Exco Kerajaan Tempatan, Penyelidikan dan Kajian negeri, Ronnie Liu, 16 Februari lalu yang memberi jaminan bahawa permohonan permit untuk sambutan tersebut termasuk pemasangan poster dan papan iklan akan diluluskan segera.

Sebelum ini, Kim Poo memberitahu, tindakan menggantung papan iklan itu dilakukan kerana pihaknya difahamkan MPK serta kerajaan negeri tidak akan meluluskan permit tersebut.

Ini kerana jelasnya, sambutan Tahun Baru Cina anjuran kerajaan negeri di Jenjarom, Banting juga akan diadakan pada tarikh dan waktu yang sama.

Menurutnya, MPK juga tidak meluluskan permohonan pihak penganjur untuk menutup laluan di Jalan Chan Ah Choo iaitu lokasi sambutan atas alasan ia bakal menimbulkan kesulitan kepada lalu-lintas.

''Jawapan itu diberikan menerusi surat bertarikh 12 Februari lalu tetapi sebenarnya jika terdapat banyak kenderaan di Jalan Chan Ah Choo, laluan tersebut akan tertutup dengan sendiri," jelas beliau.

Katanya, MPK juga sebelum ini turut menolak permohonan pihaknya supaya majlis sambutan tersebut diadakan di Kompleks Sukan Pandamaran yang sebenarnya menjadi pilihan pertama pihak penganjur.

Bagaimanapun jelasnya, di tapak kompleks itu sedang berlangsung taman ria sehingga Ahad ini menyebabkan sambutan Tahun Baru Cina Peringkat Kebangsaan terpaksa diadakan di Jalan Chan Ah Choo.

Tiada ulasan: