Sabtu, 20 Februari 2010

Melaka, KL bandar kasut

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Kementerian Pelancongan berhasrat menjadikan Melaka dan Kuala Lumpur sebagai bandar kasut yang terkemuka di dunia.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen berkata, untuk tujuan itu, kementeriannya akan memastikan semua jenis kasut yang dipamer di kedua-dua bandar raya itu adalah buatan tempatan, manakala yang antarabangsa pula hanya melibatkan jenama terkenal sahaja,

"Langkah itu diambil kerana pembuatan kasut adalah salah satu industri tradisional di Malaysia yang mencatatkan jualan kira-kira RM1 bilion setiap tahun.

"Oleh sebab itu, saya berharap bandar kasut di kedua-dua bandar raya itu boleh dilaksanakan dalam masa terdekat ini," kata beliau dalam kenyataannya di sini semalam.

Dalam pada itu, tambah Yen Yen, kementeriannya akan menganjurkan Karnival Kasut Antarabangsa buat julung kalinya pada 2 dan 3 April depan bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Menurutnya, pada karnival itu, pelbagai jenama kasut keluaran tempatan serta antarabangsa akan dipamerkan.

"Bagi menganjurkan karnival ini, Kementerian Pelancongan akan bekerjasama dengan Persatuan Pengilang Kasut Malaysia. Ia bagi membolehkan pengguna dan pelancong menikmati suasana membeli-belah yang menarik.

"Ia juga adalah salah satu usaha untuk mempromosikan jenama tempatan ke mata dunia," katanya.

Sementara itu, kata Yen Yen, pada bulan lalu, seramai 1,896,918 pelancong asing melawat negara ini iaitu meningkat 1.4 peratus jika dibandingkan pada tempoh yang sama tahun lalu.

"Pada Januari tahun lalu, 1,871,099 telah melawat negara ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau mahu sektor perhotelan memberi lebih tumpuan kepada usaha memberi layanan terbaik terhadap tetamu.

"Layanan yang diberikan oleh pekerja-pekerja hotel di Jepun misalnya sangat istimewa dan saya tidak pernah terima layanan yang sama di negara lain mahupun di Malaysia," katanya.

Tiada ulasan: