Isnin, 15 Februari 2010

MB Perlis: Jom pi masjid

BERNAMA


Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu mahu masyarakat memanfaatkan masjid sebagai tempat menyuburkan ikatan kemesraan dan hubungan masyarakat melalui pelbagai kegiatan.

Beliau berkata, masjid bukan sekadar institusi agama semata-mata tetapi peranannya jauh lebih besar termasuk sebagai institusi yang boleh merapatkan jurang perbezaan pandangan dan fahaman masyarakat.

Berucap merasmikan program "Jom Pi Masjid" anjuran bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM) Perlis, Bank Rakyat dan Cement Industries of Malaysia Berhad (CIMA) di Masjid Ibu Sina, Tok Kayaman di Kangar, beliau yakin program seumpama itu akan membantu memakmurkan masjid.

Ribuan penduduk membanjiri perkarangan masjid itu bagi menyertai pelbagai kegiatan termasuk pertandingan memproses bubur, pertandingan mewarna dan menyaksikan pameran serta demonstrasi pada program itu.

Pada majlis itu, pelbagai agensi kerajaan dan swasta turut mengadakan pameran di perkarangan masjid termasuk Perlisfm, Bank Rakyat, CIMA, Regimen 504 Askar Wataniah dan Jabatan Kesihatan.

Program Jom Pi Masjid itu akan berakhir malam ini dengan program forum perdana ehwal Islam.

Tiada ulasan: