Selasa, 23 Februari 2010

MAS diminta jelaskan untung RM610 juta

Dzulfikar Mashoor


KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub meminta Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS), Datuk Tengku Azmil Zaharuddin Raja Abdul Aziz menjelaskan kaedah perolehan RM610 juta untung bersih bagi suku keempat ini.

Merujuk pada laporan akhbar New Straits Times hari ini, beliau mempersoalkan adakah keuntungan tersebut disebabkan MAS menggunakan ‘piawaian perakaunan yang baru’ sebagaimana yang diumumkan oleh Azmil sendiri atau sebagainya.

“Yang saya nak minta penjelasan, keuntungan MAS itu adakah disebabkan MAS menukar ‘piawaian perakaunannya yang baru’ demi menunjukkan keuntungan atas kertas atau memang benar-benar keuntungan yang nyata,” kata Salahuddin ketika dihubungi Harakahdaily tengah hari tadi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian membangkitkan persoalan sedemikian ekoran MAS sendiri dilaporkan mengalami kerugian sebanyak RM628 juta pada suku akhir, 31 Disember yang lalu.

“Bagaimana MAS boleh memperoleh untung pada suku tahun keempat RM610 juta sedangkan Tengku Azmil menjelaskan bahawa MAS mengalami kerugian disebabkan kos operasi sebanyak RM628 juta pada suku sebelumnya pada 31 Disember tahun lalu,” jelasnya.

Sekiranya keuntungan tersebut adalah ‘keuntungan atas kertas’ semata-mata, Salahuddin menyifatkan pengumumman Azmil tersebut sekadar untuk menutup kelemahan MAS, selaku salah sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang banyak menerima subsidi dari kerajaan yang juga wang rakyat.

Ujar beliau lagi, pengumuman tersebut sekaligus mencerminkan tahap keupayaan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sendiri dalam menguruskan ekonomi dan sektor perkhidmatan berkaitan kerajaan.

Semalam, beliau mempersoalkan motif MAS untuk melakukan konsolidasi atau penggabungan dengan pihak tertentu demi menangani penguncupan keuntungan belakangan ini.

Membandingkan dengan trend pemasaran AirAsia Berhad yang dianggap pro konsumerisme, beliau turut mencadangkan beberapa langkah alternatif untuk memulihara MAS.

Ekoran itu, beliau bercadang untuk bertanya sendiri kepada Najib selaku Menteri Kewangan I, Menteri Kewangan II, Datuk Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Kiat pada sidang parlimen depan berhubung inti konsolidasi tersebut kelak.

Tiada ulasan: