Rabu, 3 Februari 2010

Lobi kompleks mahkamah kecoh penyokong Anwar pengsan

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Keadaan lobi Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini semalam, kecoh apabila seorang lelaki warga emas berusia 75 tahun, dipercayai penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba-tiba pengsan dan terpaksa dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan.

Beliau sebelum itu turut menyertai kumpulan penyokong lain berkumpul di lobi mahkamah sambil melaung-laungkan ‘reformasi’ ketika menyambut ketibaan Anwar yang menghadiri perbicaraan kes liwatnya.

Terdahulu, lelaki yang tidak dikenal pasti identitinya bertindak menjerit dan mengeluarkan perkataan kesat terhadap petugas media kerana tidak dapat mengikuti perbicaraan kes kerana pas masuk sudah habis.

Beliau kemudian melepaskan rasa geram kepada petugas media yang memenuhi ruang lobi sebelum pengsan dan dibawa ke HKL dengan ambulans.

Antara yang hadir di kompleks mahkamah itu ialah Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat; Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Chua Jui Meng yang kini menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, berkata walaupun berlaku sedikit kekecohan, termasuk tindakan beberapa penyokong melaungkan ‘reformasi’, keadaan terkawal.

“Tiada sebarang kejadian kekasaran berlaku, walaupun ada segelintir penyokong yang berdegil dan enggan mematuhi arahan polis. Mereka sekadar membuat bising, termasuk menjerit-jerit ‘reformasi’ sambil membawa sepanduk,” katanya.

Beliau berkata, semua pegawai dan anggotanya dikerahkan berkawal di sekitar kawasan Kompleks Mahkamah seawal jam 6 pagi semalam, sebagai langkah keselamatan.

Zakaria turut mengulangi amaran pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau kumpulan yang cuba mencetuskan suasana huru-hara hingga mengancam keselamatan rakyat dan negara.

Tiada ulasan: