Selasa, 16 Februari 2010

Landasan mengembang punca 28 gerabak tergelincir: KTMB

SINAR HARIAN ONLINE


GURUN - Landasan mengembang dan tidak sejajar akibat cuaca panas terik menjadi punca 28 gerabak kereta api barang tergelincir di Kilometer 58.75 berhampiran Stesen Kampung Guar, Guar Chempedak dekat sini, kelmarin.

Presiden Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Dr Aminuddin Adnan berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati rel besi landasan mengembang dan bengkok akibat cuaca panas.

"Kerja baik pulih dijangka siap petang ini (semalam) dan jadual perkhidmatan kereta api penumpang dan barang akan kembali beropreasi seperti biasa," katanya kepada media ketika meninjau kerja baik pulih landasan dan mengangkat gerabak yang terbalik dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 4.48 petang itu, kereta api berkenaan membawa muatan barang berasaskan getah dan sedang dalam perjalanan dari Padang Besar ke Butterworth.

Sementara itu, perkhidmatan tren KTM Antarabandar dan perkhidmatan pengangkutan barang sektor Utara yang tergendala akibat 28 gerabak kereta api barang tergelincir di Kilometer 58.75 Junun-Gurun, Kedah, kelmarin dijangka pulih petang, semalam.

KTMB dalam satu kenyataan berkata, kerja pengalihan gerabak dan membaik pulih landasan sedang giat dijalankan. mereka menjangkakan hanya satu perkhidmatan yang akan terjejas semalam, iaitu Ekspres Antarabangsa Butterworth-Bangkok.

“Penumpang yang menggunakan perkhidmatan Ekspres Antarabangsa ini akan dibawa menaiki bas dari Butterworth ke Alor Setar sebelum meneruskan perjalanan ke Hatyai dari stesen tersebut,” katanya semalam.

Menurutnya, perkhidmatan Tren Ekspres Senandung Malam dijangka beroperasi seperti yang dijadualkan. Untuk maklumat lanjut pengguna boleh hubungi 1-300-5862.

“KTMB memohon maaf terhadap segala kesulitan berikutan insiden ini,” kata kenyataan itu.

Dalam insiden jam 4.48 petang kelmarin, 28 gerabak kereta api barang dalam perjalanan dari Padang Besar ke Butterworth tergelincir, mengakibatkan perkhidmatan Ekspres Langkawi-Hatyai dari Gemas, Johor, dan perkhidmatan Ekspres Hatyai-Langkawi dari Padang Besar, tergendala kerana landasan ditutup.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Tinjauan Sinar Harian ke lokasi kejadian menyaksiskan kerja pembaikan sedang giat dijalankan.

Orang awam tidak dibenarkan berada dalam kawasan kejadian dikhuatiri mengganggu kerja yang sedang dijalankan.

Seorang saksi, Abdul Rahim Md Diah, 54, berkata, dia kebetulan berada berhampiran lokasi kejadian dan melihat dengan jelas ketika gerabak demi gerabak tergelincir dan jatuh dari landasan.

“Mula-mula saya lihat gerabak belakang terjatuh dulu, selepas itu satu demi satu gerabak jatuh sehingga sampai ke pemandu. Saya nampak pemandu itu terjun keluar dari kereta api.

“Saya nampak gerabak pertama yang jatuh adalah gerabak terakhir kereta api itu,” katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Guar Chempedak, Hasbullah Mohd Isa pula berkata, dia mendapat maklumat antara kontena kereta api yang terjatuh itu adalah mempunyai bahan kimia.

“Pada mulanya kami dimaklumkan ada 18 gerabak tergelincir, tetapi setelah tinjauan dilakukan, sebanyak 28 gerabak terbabit dengan tiga kontena mengandungi susu getah dan 25 lagi memuatkan getah keping.

“Getah cair itu diletakkan sedikit bahan kimia agar tidak cepat beku, begitu pun, bahan kimia tersebut tidak berbahaya,” katanya.

Tiada ulasan: