Khamis, 25 Februari 2010

Lagi laporan polis terhadap Gunasegaram

Jimadie Shah Othman



Majlis Agama Islam Selangor (Mais) hari ini membuat laporan polis terhadap editor urusan akhbar The Star, P Gunasegaram dan Sister in Islam (SIS) yang didakwa membuat kenyataan yang menyentuh bidangkuasa raja-raja Melayu, urusan agama Islam dan hukum Syarak dan sensitiviti umat Islam.

Laporan tersebut oleh setiausaha Mais, Datuk Mohammed Khusrin Munawi di ibupejabat polis Shah Alam di seksyen 11.

Mohammed berkata, pihaknya menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap kedua-dua pihak tersebut di bawah Akta Hasutan.

"Mais berpendirian, mana-mana pihak yang tidak mempunyai kefahaman jelas mengenai undang-undang jenayah Syariah tidak berhak dan tidak layak untuk mempertikaikan pelaksanaannya di kalangan umat Islam," katanya kepada pemberita.

Ditanya mengenai tindakan The Star memohon maaf berhubung penyiaran tulisan tersebut, Mohammed berkata ia masih tidak cukup.

Sebaliknya, belia masih mahu tindakan undang-undang diambil ke atas mereka.

Ditanya mengenai laporan polis yang sama yang telah dibuat sebelum ini, Mohammed berkata Mais membuat laporan polis sekali lagi hari ini bagi menunjukkan pendirian majlis tersebut.

Beliau enggan menjawab soalan lain dan meminta pihak media merujuk kepada kenyataan akhbar yang diedarkan.

Mohammed berkata kandungan kenyataan akhbar itu hampir sama dengan kandungan laporan polis yang dibuat hari ini.

Tiada ulasan: