Rabu, 17 Februari 2010

Lagi desak kes Anwar digugur?

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Malaysia dijangka terus menerima desakan pemimpin negara asing supaya pertuduhan liwat yang dihadapi Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim digugurkan.

Bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari (gambar) berkata, pemerhatiannya mendapati wujud satu hubungan langsung antara desakan yang dikemukakan sebelum ini dengan kunjungan Anwar ke negara asing.

Beliau mendakwa, melalui kunjungan itu, Anwar berpeluang menggunakan rangkaian antarabangsa untuk meraih sokongan.

"Cuba kita lihat kronologi desakan oleh 50 ahli Parlimen Australia, bukankah ia berlaku dua bulan selepas Anwar menyertai program Parlimen Agama Dunia di Melbourne pada 4 dan 5 Disember lalu.

"Kali ini pula Anwar menyertai Forum Dunia Islam-Amerika Syarikat di Doha, Qatar.

"Jadi saya tidak pelik jika ada negara asing lain yang turut mengemukakan desakan selepas ini dengan mengambil kira kronologi bantahan ahli Parlimen Australia itu," katanya sewaktu dihubungi Utusan Malaysia, di sini.

Semakan di laman web rasmi Forum Dunia Islam-Amerika Syarikat www.qatar-conferences.org mendapati ia disertai oleh 249 peserta dari 35 buah negara.

Pada forum berkenaan, Anwar turut menyampaikan ucaptama dalam satu sesi pleno bersama bekas Setiausaha Negara AS, Madeleine Albright.

Sementara itu, maklumat di laman twitter Anwar, http://twitter.com/ anwaribrahim menunjukkan aktiviti beliau di Doha antaranya mengadakan pertemuan bersama beberapa pemimpin negara asing antaranya Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu yang disifatkan sebagai seorang kawan lama.

Anwar sebelum ini pernah mendapatkan perlindungan di Kedutaan Turki selepas bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan membuat laporan berhubung kes liwat di Balai Polis Jalan Travers, di sini.

Sementara itu, sewaktu mengulas mengenai desakan 50 ahli Parlimen Australia, Anuar mendakwa beliau menerima maklumat ia turut didalangi oleh warganegara Malaysia yang menetap di sana.

Dakwanya, individu terbabit bertindak sebagai orang tengah yang mengaturkan pertemuan Anwar dengan pihak tertentu.

"Saya memang tidak pelik dengan desakan mereka kerana Pengerusi Jawatankuasa Kecil bagi Hal Ehwal Luar Parlimen Australia, Michael Danby pada 3 Februari lalu melalui laman webnya http://www.danbymp. com telah mempertikaikan perbicaraan kes itu malah beliau turut menyertakan gambar pertemuannya dengan Anwar pada Disember lalu.

"Jadi, walau apa pun penafian yang dibuat oleh Anwar mengenai hubungannya dengan barat, perkembangan semasa mula memberi petunjuk yang jelas," tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Anuar menyatakan harapan supaya Wisma Putra bertindak proaktif dengan menyediakan fakta-fakta berhubung perjalanan kes Anwar kepada kedutaan asing dan juga duta Malaysia di luar negara.

"Kita tidak boleh bersikap tunggu dan lihat kerana ia memberi kesan yang teruk kepada imej negara," katanya.

Tiada ulasan: