Sabtu, 20 Februari 2010

Labuan, ‘wilayah tiri’ yang ketinggalan di sebalik pembangunan?

Oleh Mohd Ali Bakri

KUALA LUMPUR : Labuan adalah salah satu daripada wilayah persekutuan, namun beberapa isu berbangkit seperti bekalan air, kekurangan tenaga pakar di hospital dan perniagaan daging khinzir adalah antara isu-isu yang memerlukan penyelesaian tuntas.

Kes-kes lazim didengar ialah seperti pesakit terpaksa diterbangkan ke Kota Kinabalu kerana kekurangan tenaga pakar dan peralatan perubatan di hospital-hospital Labuan, baik Hospital Nukleus mahu pun Hospital Lama.

Sehingga 25 tahun Labuan di bawah pentadbiran Kerajaan Persekutuan, namun perkembangan ini tidak ke mana-mana.

Dalam isu peniaga daging khinzir misalnya, Perbadanan Labuan sudah mengeluarkan amaran ketiga dan terakhir kepada mereka untuk berpindah ke pasar baru. Namun masih belum nampak tanda-tanda para peniaga tersebut akan akur untuk berpindah.

Sehingga kini, barulah diwujudkan sebuah kumpulan pemikir khas untuk kemajuan Labuan untuk merancang wawasan jelas bagi menentukan hala tuju dan pembangunan masa depan pulau itu.

Ahli Parlimen Labuan, Datuk Yussof Mahal, antara yang terlibat dengan pasukan itu berkata, pihaknya akan benar-benar membangunkan pulau ini dan memperkukuhkan perpaduan di kalangan masyarakat pelbagai kaum bertepatan dengan konsep 1Malaysia.

"Kami mesti mendapatkan bijak pandai dan belia yang bagus untuk menyertai kami dan bekerjasama untuk membina pulau ini," katanya dalam suatu kenyataan di sini, hari ini.

Yussof baru sahaja dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Bahagian Barisan Nasional (BN) Labuan sehingga 31 Mei 2011 oleh Perdana Menteri dan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, kumpulan pemikir itu akan meneliti dengan serius aktiviti ekonomi yang mungkin sesuai untuk Labuan.

"Pemimpin yang bagus tahu mereka tidak boleh menghasilkan semua idea yang baik. Dengan membenarkan input mereka mampu membuat keputusan yang lebih bertanggungjawab," katanya.

Biro aduan juga akan diwujudkan bagi memastikan lebih banyak penyertaan daripada orang ramai dalam pelbagai projek pembangunan masyarakat yang dijalankan kerajaan.

GMS desak Yusoff Mahal beri perhatian isu air di Labuan

Terdahulu, Gerakan Mahasiswa Sedar (GMS) pernah menggesa Ahli Parlimen Labuan Yusoff Mahal agar tampil memberi perhatian serius terhadap isu air yang melanda wilayah persekutuan tersebut.

Pengerusi GMS Ahmad Syafiq Akmal Ahmad Kamil sebelum ini bersama Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) sudah pun menyerahkan memorandum kepada perdana menteri, Najib Tun Razak berhubung isu air itu.

Wilayah Persekutuan Labuan dilaporkan menghadapi masalah bekalan air yang serius sehingga menyebabkan bekalan air terpaksa dicatu disamping menghadapi masalah paip berkarat dan kualiti air yang kurang bersih.

Keadaan itu bukan sahaja menyusahkan mahasiswa universiti sekitar Labuan, malah menghimpit sebahagian penduduk Labuan yang sukar mendapatkan bekalan sumber air itu.

Tiada ulasan: