Khamis, 4 Februari 2010

Khir bimbang SBT lebar jurang sekolah

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Khir Toyo bimbang langkah kerajaan menyenaraikan 20 buah Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) akan melebarkan lagi jurang kualiti pendidikan bandar dan luar bandar.

Beliau juga mempersoalkan tindakan kerajaan mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM700,000 setahun kepada SBT tetapi pada masa sama memotong bajet sekolah biasa sehingga menjejaskan banyak aktiviti pendidikan.

"Apakah kecemerlangan anak-anak di SBT lebih utama berbanding pelajar di seluruh negara yang tiada peluang untuk berada di SBT.

"Lebih menyedihkan, bagaimana nasib anak di pedalaman terutama di Sabah dan Sarawak yang masih di sesetengah kawasan belajar dalam keadaan daif.

"Jadi di mana keutamaan Kementerian Pelajaran? Kementerian sepatutnya menumpukan sekolah yang tertinggal terlebih dahulu berbanding memberi bantuan kepada sekolah yang telah cemerlang dan mempunyai budaya pembelajaran cukup baik serta sokongan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang kuat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam entri bertajuk Mana Lebih Penting, SBT atau Anak-Anak Di Pedalaman? dalam blognya, www.drkhir.com.

Mohamad Khir berkata, lebih baik bagi Kementerian Pelajaran menumpukan pada sekolah yang berada di ranking terbawah terlebih dahulu supaya mereka mampu melahirkan pelajar terbaik sama seperti sekolah yang telah sedia cemerlang.

Tiada ulasan: