Rabu, 17 Februari 2010

Kes Anwar: Buat laporan polis jika tidak puas hati

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (gambar) meminta orang ramai yang tidak berpuas hati dengan tindakan pihak tertentu 'menjaja' kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim ke jalanan melalui ceramah-ceramah politik supaya membuat laporan polis.

Beliau berkata, orang ramai juga boleh membuat aduan kepada pejabat Peguam Negara secara terus untuk tindakan lanjut kerana kesalahan menghina mahkamah.

"Saya minta semua pihak yang tidak berpuas hati mengenai mana-mana ceramah kes (Datuk Seri) Anwar membuat laporan polis.

"Mereka juga boleh membuat aduan ke pejabat Peguam Negara dan pihak mahkamah," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) diminta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang mengambil kesempatan menggunakan kes liwat Anwar melalui ceramah yang diadakan mereka.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali dilaporkan berkata, KDN perlu mengambil tegas terhadap mana-mana pihak yang menjaja kes Anwar melalui ceramah-ceramah tertentu.

Menurutnya, jika dibiarkan, ia akan menjadi trend untuk mana-mana pihak yang dituduh di mahkamah untuk menjaja cerita mereka tidak bersalah di tempat awam.

"Tindakan itu tidak harus dibiarkan kerana ia dianggap sebagai subjudis dan menghina mahkamah," kata Ibrahim.

Tiada ulasan: