Sabtu, 20 Februari 2010

Kerajaan siar fakta royalti minyak Kelantan di akhbar perdana


BERNAMA

KOTA BHARU — Kerajaan Pusat akan menyiarkan iklan satu muka surat penuh di semua akhbar perdana berbahasa Melayu esok mengenai isu royalti minyak di Kelantan bagi memberikan fakta sebenar kepada seluruh rakyat negara ini, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

"Esok seluruh rakyat Malaysia akan memahami dengan sejelas-jelasnya isu ini apabila semua akhbar akan menyiarkan iklan mengenai isu tersebut dan saya yakin fakta yang akan diberikan itu akan lebih meyakinkan semua pihak,” katanya selepas Ceramah Perdana Isu Royalti Minyak di sini, malam tadi.

Ceramah anjuran Majlis Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Kelantan itu turut dihadiri Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Anggota Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali serta lebih 5,000 orang.

Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan berkata selepas beberapa siri penerangan isu itu di beberapa tempat di negeri ini yang dianjurkan oleh beberapa NGO, penduduk Kelantan kini mula memahami isu sebenar royalti minyak itu.

Beliau berkata siri penerangan itu akan diteruskan lagi sehingga rakyat termasuk yang tinggal di pedalaman benar-benar memahami apa yang dituntut kerajaan Kelantan itu adalah tidak benar mengikut peruntukan undang-undang.

Tiada ulasan: