Sabtu, 13 Februari 2010

Keputusan gugur tuduhan liwat Anwar 17 Februari

Oleh Ahmad Johari Mohd Ali


PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan semalam menetapkan 17 Februari ini bagi keputusan rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memohon supaya pertuduhan kes liwat terhadapnya digugurkan.

Hakim Datuk Wira Abu Samah Nordin yang mengetuai panel tiga hakim Mahkamah Rayuan menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah Peguam Cara Negara II Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden bagi pendakwaan dan peguam Karpal Singh yang mewakili Anwar.

Abu Samah berkata, beliau bersama dua lagi hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Sulaiman Daud dan Datuk Azhar @ Izhar Ma'ah memerlukan masa untuk meneliti hujah kedua-dua belah pihak sebelum membuat keputusan.

Pada 1 Disember tahun lalu Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menolak permohonan Anwar supaya pertuduhan liwat ke atasnya digugurkan.

Mohamad Zabidin dalam penghakimannya memutuskan laporan perubatan tiga doktor Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 28 Jun 2008 yang menyatakan tiada penemuan klinikal menunjukkan berlaku ‘kemasukan’ tidak boleh dijadikan asas untuk menggugurkan kes berkenaan.

Semalam, Mohd Yusof dalam hujahnya berkata pertuduhan hanya boleh digugurkan jika ia tidak menyatakan elemen-elemen dalam kesalahan atau jika seseorang itu dituduh dengan kesalahan yang tidak terdapat dalam undang-undang.

Beliau berkata, tiada apa-apa yang cacat dalam pertuduhan yang dikenakan terhadap Anwar dan ia adalah jelas.

"Laporan perubatan tiga doktor daripada HKL bukan bukti sepenuhnya. Ia akan menyokong keterangan doktor dan ahli kimia yang bakal dipanggil dalam perbicaraan itu kemudian.

"Kami katakan di sini kita tidak boleh bergantung kepada laporan perubatan itu semata-mata kerana dalam perbicaraan ini kami akan memanggil saksi doktor dan ahli kimia untuk mengemukakan keterangan forensik.

"Sebab itu doktor mengambil sampel calitan daripada pengadu bagi membuktikan terdapat kehadiran air mani yang akan akan disahkan kemudian oleh doktor dan ahli kimia," katanya.

Sementara itu, Karpal Singh berkata, Mahkamah Rayuan seharusnya mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi dengan menggugurkan tuduhan berkenaan walaupun perbicaraan kes liwat anak guamnya sudah berjalan dengan saksi utama sedang memberikan keterangan.

Katanya, adalah penting bagi pihak pendakwaan untuk membuktikan ada kemasukan yang adalah elemen asas dalam pertuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, dan ia perlu dibuktikan melampaui keraguan munasabah.

Beliau berkata, pihak pendakwaan juga gagal membuktikan perkara itu menerusi laporan perubatan, sambil menambah pertuduhan terhadap Anwar berniat jahat selain menindas dan adalah penyalahgunaan proses mahkamah serta konspirasi politik.

“Pendakwaan menyatakan laporan perubatan itu tidak lengkap. Bagaimana mereka boleh menyatakan begitu sedangkan ia kesimpulan yang dibuat oleh doktor bahawa tiada penemuan klinikal berlakunya kemasukan,” katanya.

Perbicaraan kes liwat Anwar bermula 3 Februari lalu, bagaimanapun Mohamad Zabidin menangguhkannya hingga Khamis ini bagi memutuskan sama ada beliau boleh meneruskan untuk menghakimi kes berkenaan atau menarik diri seperti dimohon Anwar.

"Mahkamah ini harus menetapkan pendiriannya tanpa mengira sama ada perbicaraan sudah bermula. Persoalan sama ada pihak pendakwaan bertindak dengan jujur atau menerima telunjuk pihak atasan, tidak akan bangkitkan lagi. Kami cuma berharap supaya mahkamah membenarkan rayuan ini," katanya.

Pada 10 Mac tahun lalu, Anwar, 63, didakwa meliwat bekas pembantu khasnya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 25, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini antara jam 3.01 dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Tiada ulasan: