Khamis, 4 Februari 2010

Kenapa Petronas perlu membayar royalti kepada Kelantan?

Tengku Razaleigh Hamzah


Pengumuman Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kerajaan pusat akan memberikan wang ihsan kepada rakyat Kelantan, bercanggah dengan akta 144 kemajuan petroleum 1974 yang memperuntukkan lima peratus mesti diberikan kepada negeri pengeluar minyak. Pengumuman itu jelas bertentangan dengan akta tersebut dan merupakan satu pembohongan terhadap rakyat Kelantan.

Hak-hak Kerajaan Kelantan untuk memperolehi royalti minyak lima peratus adalah jelas, bersandarkan kepada fakta-fakta perjanjian yang sudah ditandatangi sejak dulu, antara Kerajaan Negeri, Kerajaan Pusat dan Petronas.

Mengimbau kembali sejarah dan latar belakang perjanjian itu ialah; kuasa mengizinkan sebarang jenis perlombongan, termasuk petroleum adalah kuasa negeri-negeri, sebelum Negara ini merdeka. Setiap negeri adalah wilayah berdaulat yang mempunyai kuasa dan legitimasi ke atas wilayah masing-masing, samada di daratan dan lautan.

Kuasa ini kekal di pegang oleh setiap negeri ketika The Federation of Malaysia Agreement 1948 di bentuk. Kuasa perlombongan kekal milik negeri-negeri.

Kelantan, seperti negeri lain juga, secara sukarela menyertai Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957 dan kemudiannya Malaysia, pada tahun 1963 tetapi kuasa perlombongan termasuk hak ke atas pengeluaran petroleum kekal menjadi kuasa negeri seperti diperuntukkan oleh Perlembagaan Negara.

Tidak ada sebarang masa kuasa ini dilucut atau diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan, baik sebelum atau selepas penubuhan Persekutuan Tanah Melayu tahun 1957 mahupun penubuhan Malaysia tahun 1963. Andaikata Kelantan tidak menyertai Malaysia, kuasa ke atas petroleum samada di daratan atau lautan Negeri Kelantan akan kekal dalam milik Kelantan.

Itulah sebabnya satu perundingan diadakan antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan-Kerajaan Negeri untuk Kerajaan Negeri bersetuju menyerahkan hak ini kepada Kerajaan Persekutuan. Atas persetujuan itu, Kerajaan Negeri yang terdapat pengeluaran petroluem akan dibayar ‘pembayaran tunai kepada Kerajaan Negeri’ mengikut pengeluaran kasar bagi tiap-tiap satu tahun dan pembayaran tunai itu akan dibuat sebanyak dua kali setahun iaitu pada bulan Mac dan September tahun itu.

Atas persetujuan itulah negeri-negeri menyokong pembentukan Akta 144 Kemajuan Petroleum 1974 (Akta PDA) dan kemudiannya menandatangani satu perjanjian . Akta PDA adalah Akta yang paling penting berkaitan isu royalti. Akta inilah mengawal pembentukan Petronas, mengesahkan perjanjian petroleum antara Petronas dan Kerajaan Negeri serta mengesahkan kuasa carigali dan pengeluaran petroleum yang dulunya dipegang oleh negeri akan diserahkan kepada Petronas dengan timbal balas wajib seperti yang disebutkan di atas.

Selepas Akta ini diluluskan, barulah Petronas terbentuk. Diikuti oleh penandatanganan perjanjian pada tahun 1975, antara Kerajaan Negeri dan Petronas mewakili Kerajaan Persekutuan.

Inti penting perjanjian ini hanya dua perkara;

(a) Kuasa dan hak ke atas petroleum yang dimiliki oleh Negeri – Negeri diserahkan kepada Petronas.
(b) Sebagai balasan, hak itu diserahkan, Kerajaan Negeri-Negeri di mana pengeluaran petroleum berlaku akan dibayar bayaran tunai kepada Kerajaan Negeri. (Klausa 4 Akta PDA menyebut perkataan “the Governments of the relevant states”)

Jika sekiranya Kerajaan Negeri dijanjikan bayaran melalui apa yang dipanggil wang ihsan, adakah Kerajaan Negeri-Negeri akan bersetuju menyerahkan hak itu kepada Petronas pada waktu itu? Jawabnya tidak.

Jika kuasa yang dimiliki oleh Kerajaan Negeri hanya melibatkan 3 batu nautika saja dari pantai, adakah perlu Akta 144 Kemajuan Petroleum 1974 itu diadakan? Adakah perlu hak itu diserahkan oleh Kerajaan Negeri sedangkan telaga minyak kebanyakannya berada di luar garis 3 batu nautika itu? Jawabnya juga tidak perlu.

Kenapa Kerajaan Pusat masih berminat Kerajaan Negeri menandatangani perjanjian penyerahan hak itu? Kerana semua telaga sekalipun di luar perairan 3 batu adalah masih menjadi milik negeri-negeri sebagaimana ianya adalah milik negeri berkenaan sebelum negeri-negeri berkenaan menyertai Persekutuan Tanah Melayu dan Malaysia lagi.

Mengenai jarak 3 batu nautika, ianya sama sekali tersasar dan hujjah yang dibuat-buat tanpa sebarang sandaran.

“Saya juga sukacita melihat dalam Fasal 2, bahawa hak untuk mengeluarkan pemberian hak-hak seperti terkandung dalam Jadual terserah kepada Kerajaan yang mempunyai kuasa kepada kawasan yang berkenaan. Bagi pihak Negeri Sarawak saya ingin menyatakan bahawa kita berpendapat adalah menjadi hak negeri Sarawak mempunyai kuasa di bawah Seksyen 2 tadi mengeluarkan pemberian hak-hak, kuasa-kuasa, kebebasan-kebebasan dan keistimewaan-keistimewaan berkenaan dengan petroleum seperti terdapat dalam Jadual Undang-undang ini meliputi bukan sahaja kawasan daratan tetapi juga kawasan yang di sebut offshore termasuk continental shelf. Saya sungguh gembira ada tersebut dalam Rang Undang-undang ini iaitu sebagai pengakuan kepada hak ini pihak PETRONAS akan memberi bayaran wang tunai kepada Kerajaan yang berkenaan. Dengan cara begini maka Kerajaan Negeri yang berkenaan akan dapat sedikit wang, walaupun tak banyak yang boleh digunakan dalam pentadbiran negeri dan juga dalam pembangunan.”

( Perbahasan Akta Pembangunan Petroleum 1974 oleh Tun Rahman Ya’kub, Ketua Menteri Sarawak, seperti hansard Dewan Rakyat bertarikh 24 November 1974, muka surat 2371).

Perhatikan kandungan perbahasan para pembentuk Akta PDA ini dan ingat apa niat mereka dan maksud Akta ini sebenarnya, seperti dibayangkan oleh ucapan perbahasan Ketua Menteri Sarawak pada waktu itu seperti di atas;

(a) Tidak ada had 3 batu nautika seperti yang beberapa pemimpin sebutkan sekarang.
(b) Offshore sesuatu negeri tidak tertakluk kepada 3 batu nautika bahkan meliputi continental shelf.
(c) Bayaran tunai tersebut dibayar kepada Kerajaan Negeri dan tidak dirampas di tengah jalan atas apa juga alasan.
(d) Akta ini mengakui hak ke atas petroleum adalah hak negeri yang akan diserahkan kepada Petronas dengan timbal balas bayaran tunai.

Ini diperkuat oleh jawapan di Dewan Rakyat oleh YAB Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia pada waktu itu, kepada pertanyaan oleh YB Lim Kit Siang tentang hak dan faedah yang akan diperolehi oleh negeri-negeri apabila menandatangani perjanjian petroleum itu kelak;

Perdana Menteri (Tun Abdul Razak):

“Tuan Yang di Pertua, semua negeri di Malaysia, melainkan Sabah dan Selangor telah menandatangani perjanjian dengan PETRONAS sebagaimana yang dikehendaki oleh Akta Kemajuan Petroleum,1974. Saya diberitahu Kerajaan Negeri Selangor telah pun bersetuju menandatangani perjanjian ini. Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap negeri akan menerima 5% daripada nilai petroleum yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan negeri tersebut, yang dijual oleh PETRONAS ataupun agensi-agensi ataupun kontrektor-kontrektornya.”

“Tiap-tiap negeri akan menerima 5% daripada nilai petroleum yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan negeri tersebut” –Demikian maksud Tun Razak. Allahyaraham adalah pemimpin UMNO yang banyak berjasa. Pandangan jauhnya mengatasi kepentingan politik kepartian. Kenapa hasrat baik itu hendak dicemari kemudian? Mengapa niat baik dan teladan mulia seperti itu hendak dilanggari?

Kita terbentuk dari sejarah. Kita menjadi mulia dengan menghormati apa yang telah terukir dalam sejarah sebagai ikatan persetujuan semua pihak melakarkan kepentingan masa depan anak cucu dan negara tercinta atas dasar menghormati hak dan menunaikan kewajipan seperti termaktub dalam persetujuan dan ditulis dalam bentuk sebuah perjanjian. Hormatilah diri kita sendiri.

Al Qur’an sangat mementingkan patuh pada perjanjian. Antara lain Allah berfirman;“Dan orang-orang yang (beriman itu) memelihara dengan sebaik-baiknya amanat-amanat (yang diserahkan padanya) dan perjanjiannya”.
(Al Ma’arij: 32 )

Selanjutnya tentang 3 batu nautika. Perhatian terhadap kata pendahuluan (preamble) kepada Seksyen 2 Akta Pembangunan Petroleum 1974 yang berbunyi;

“the entire ownership in, and the exclusive rights, powers, liberties and privileges of exploring, exploiting, winning and obtaining petroleum whether onshore or offshore of Malaysia”

Maknanya, ia meliputi onshore dan offshore tanpa kecuali dan had sempadan 3 batu nautika

Kata ‘Malaysia’ dalam seksyen berkenaan adalah merujuk kepada definasi Malaysia dalam Artikel Satu Perlembagaan Negara, antara lain;

(a) Artikel 1(2): The states of the Federation shall be Johore, Kedah, Kelantan, Malacca, Negeri Sembilan, Pahang, Penang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor and Terengganu.

(b) Artikel 1 (3) : Subject to Clause (4) the territories of each of the States mentioned in Clause (2) are the territories comprised therein immediately before Merdeka Day.”

Dengan itu, kata “the entire ownership in, and the exclusive rights, powers, liberties and privileges of exploring, exploiting, winning and obtaining petroleum whether onshore or offshore of Malaysia” adalah merujuk kepada ‘onshore’ dan ‘offshore’ mana-mana negeri berkenaan dan dalam kes ini, Negeri Kelantan.

Sepanjang Akta Pembangunan Petroleum 1974 dilihat, perjanjian penyerahan hak petroleum oleh negeri-negeri hanya terbatas kepada dua;

a. Onshore – di daratan
b. Offshore – di lautan

Offshore dalam Akta ini tidak pernah dibahagikan kepada apa-apa kategori lagi.

Atas sebab itulah royalti dibayar kepada semua negeri pengeluar petroleum seperti Sabah, Sarawak dan juga Terengganu.

Semua negeri ini telaga-telaga mereka kebanyakannya adalah juga berada di luar garis 3 batu nautika. Kalau mereka layak menerima royalti walaupun telaga mereka juga berada di luar 3 batu nautika, kenapa syarat yang berbeza hendak dikenakan pada Kelantan?

Ukuran double standard seperti itu sukar hendak dipertahankan sebagai tidak bersifat politik. Ia menghilangkan kehormatan masyarakat, terutama masyarakat korporat kepada Kerajaan Negara kita. Ia menghantar isyarat ‘rule of law’ dan keramatnya perjanjian adalah boleh dinodai sebegitu mudah di negara kita. Sedangkan ‘rule of law’ adalah asas untuk sesebuah negara menjadi maju dan sejahtera, termasuk menarik pelaburan asing, seperti disebut oleh Alan Greenspan, bekas Pengerusi Federal Reserve Amerika dalam memoirnya “The Age of Turbulence: Adventures In A New World”.

Bagi Terengganu, Telaga Bekok, Tapis dan Pulai kesemuanya berada 150 batu dari pantai.

Mengambil contoh Terengganu juga dibayar wang ihsan, adalah tidak tepat. Bagaimana tentang Sabah dan Sarawak?. Apa yang dicatitkan dalam akaun Petronas itu sendiri pada setiap tahun. Sebagai contoh, disisipkan kenyataan media rasmi Petronas bertarikh 25 Jun 2009;

Despite the lower profit, PETRONAS continued to make higher payments to governments. During the financial year, PETRONAS Group paid RM74.0 billion to governments, bringing the Group’s total payments to governments to RM471.3 billion since its incorporation in 1974. Of the RM74.0 billion payment for the year, RM67.8 billion was paid to the Federal Government comprising RM30.0 billion of dividend, RM20.3 billion of petroleum income tax, RM9.1 billion of corporate income tax, RM2.2 billion of export duties and RM6.2 billion of royalty payment. Another RM6.2 billion was paid in royalty payments to the state governments of Terengganu (RM3.0 billion), Sarawak (RM2.3 billion) and Sabah (RM0.9 billion).

- Petronas Group Results For The Financial Year Ended 31 March 2009. (Diedarkan kepada media pada 25 Jun 2009).

Perhatikan, bagi tahun kewangan 2008/09 yang berakhir pada Mac 2009, Terengganu mendapat bayaran RM3 billion sebagai bayaran royalti! “RM6.2 billion was paid in royalty payments to the state governments of Terengganu (RM3.0 billion), Sarawak (RM2.3 billion) and Sabah (RM0.9 billion). “

Ianya adalah royalti!

Kalau pun Kerajaan tidak ingin bercakap benar, diatur lebih kemas dan tidak mudah dilekehkan orang. Kerana sekali diperlekehkan, susah untuk kita percayai lagi.

Pemimpin-pemimpin BN mengatakan; samada bayaran dibuat atas nama wang ihsan melalui Kerajaan Pusat atau bayaran tunai kepada Kerajaan Kelantan adalah tidak penting asalkan rakyat mendapat faedahnya.

Jawapannya; bayaran wang ehsan adalah diukur berdasarkan pengeluaran petroleum di luar pantai Kelantan. Banyak pengeluaran, banyaklah jumlah wang ehsan itu.

Nyata, wang ini tidak sama dengan segala jenis sumbangan yang disalurkan oleh Kerajaan Pusat selama ini. Ia masih dikaitkan dengan pengeluaran petroleum di perairan Kelantan. Mengapa perlu berbelit-belit? Mengapa tidak katakan terus, atas sebab politik, hak royalti Kelantan cuba dinafikan dengan istilah yang sama sekali tidak dikenali dalam perundangan negara kita iaitu wang ehsan yang dikawal oleh Kerajaan Pusat.

Jika ianya adalah wang petroleum, jika ia disalurkan kepada Kerajaan Negeri, maka Kerajaan Negeri bagi pihak rakyat dapat memastikan jumlah sebenar pengeluaran petroleum dan pendapatan darinya. Satu penyata akaun perlu diserahkan kepada Kerajaan Negeri dan semua telaga yang ada perlu mendapat pembayarannya.

Ia menjadi amat telus dan bertanggung jawab. Tidak ada mana-mana pihak boleh memanipulasikan hasil mahsul petroleum sesuatu negeri.

Tanpa saluran ini dan semua fakta cuba disembunyikan, siapa dapat menjamin ianya telus dan bebas dari manipulasi?

Di dalam seminar KDNK yang diadakan oleh EPU Jabatan Perdana Menteri, pada 16 Mac 2009 yang lalu wakil Kerajaan Negeri Kelantan yang hadir mendapati angka baru sektor perlombongan di Negeri Kelantan sangat singnifikan iaitu RM2,721 juta pada tahun 2005 dan RM2,615 juta pada tahun 2006. Jabatan Perangkaan Negara memaklumkan bahawa data tersebut diberikan oleh pihak Petronas. Ini bermakna hasil petroleum dan gas telah menyumbang kepada KDNK Negeri Kelantan semenjak 2005 lagi.

Jadual 5.3 perangkaan utama industri petroleum mengikut negeri di Malaysia 2004 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Negara menyenaraikan Negeri Kelantan bersama Terengganu dan Sabah sebagai pengeluar 62.5% hasil petroleum Malaysia.

Mengapa penderaan dan penafian hak terus menjadi pegangan dan amalan? Atas tekanan ahli politik dari Kelantan sendirilah Perdana Menteri dipaksa membuat pengumuman yang tidak dapat dipertahankan oleh akal waras itu.

Tanpa tekanan politik orang Kelantan, saya yakin, Perdana Menteri memenuhi kata hatinya sama seperti yang janjikan oleh Allahyarham Tun Razak 25 tahun silam.

Pada waktu Kerajaan Negeri membantah apa yang diumumkan, kita tetap akan mencari jalan perundingan dengan Perdana Menteri di luar sikap mendera dan penafian hak. Baliklah kepada semangat muaafakat memenuhi wa’ad yang telah sah termaktub dan percayalah, Allah akan memberikan berkat kepada negara kita dengan langkah seperti itu.

Memenuhi sebuah perjanjian adalah memenuhi perintah sebuah firman Tuhan yang telah menciptakan hasil mahsul mengikut ukuran dan tempat yang Ia kehendaki.

Jika faedah rakyat Kelantan menjadi pertaruhan, ia masih tetap boleh dipenuhi oleh Kerajaan Negeri. Lagi pun, Kerajaan Negerilah yang memulakan tuntutan ini empat bulan yang lepas dan langkah Perdana Menteri membuat pengumuman pertama dalam masa relatif singkat patut dialu-alukan tanpa sampai meninggalkan perjuangan hak rakyat Kelantan yang masih belum ditunaikan.

Ikutilah teladan YBM Tengku Razaleigh, juga anak Kelantan, sekalipun beliau juga ahli UMNO, tetap mempertahankan hak Kelantan seperti kehendak Akta PDA itu sendiri;

“Apabila Malaysia ditubuhkan dalam tahun 1963, bidang kuasa (jurisdiction) ke atas luar pantai Malaysia di antara Negeri dan Persekutuan tidak ditentukan untuk negeri-negeri Sabah, Sarawak dan Singapura oleh kerana Malaysia ditubuhkan dalam suasana di mana kita telah diancam oleh negara tetangga. Ini menyebabkan Kerajaan Negeri Sarawak telah mempertikaikan hak bidang kuasa Kerajaan Persekutuan ke atas luar pantai Malaysia di perairan Sarawak. Nasib baik dengan adanya Akta Kemajuan Petroliam 1974 pertikaian ini telah dapat diselesaikan dalam suatu perundingan yang diadakan dengan Kerajaan Sarawak. Saya telah mewakili Kerajaan Persekutuan untuk merundingkan masalah ini dan tanpa memilih jalan yang sukar, iaitu untuk meminda Perlembagaan Negara bagi menentukan bidang kuasa untuk Negeri dan Persekutuan yang tidak sempat dibuat sebelum ini mengenai kawasan luar pantai Malaysia , maka Seksyen 4 Akta Kemajuan Petroleum telah diguna bukan sahaja untuk menyelesaikan masalah ini tetapi telah dapat juga mengatasi kemungkinan ianya ditimbulkan oleh negeri-negeri seperti Sabah selain daripada Sarawak.

Akta Kemajuan Petroleum mempunyai keistimewaannya tersendiri. Ia telah menyebabkan ujudnya satu perjanjian dalam mana Kerajaan-kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan telah sanggup meletak hak selama-lamanya kepada PETRONAS mengenai petroleum yang ditemui sama ada di dalam atau di luar pantai Malaysia. Sebaliknya PETRONAS sanggup membuat bayaran tunai kepada Kerajaan Persekutuan dan juga Kerajaan-kerajaan Negeri sebanyak 5% daripada nilai petroleum yang ditemui dan dijual tiap-tiap tahun menurut Perjanjian itu. Bagi Negeri Kelantan, Allahyarham Dato’ Hj. Mohamed bin Nasir, selaku Menteri Besar, telah menandatangani perjanjian ini dan saya bagi pihak PETRONAS telah menandatangani perjanjian yang sama dalam tahun 1975.

Jelas sekali, dengan tafsiran yang dibuat dalam kedua-dua perjanjian ini nampaknya tidak ada keraguan lagi mengenai bidang kuasa dalam dan luar pantai Malaysia mengenai petroleum. Jelas sekali PETRONAS terikat dengan perjanjian-perjanjian ini begitu juga Kerajaan Negeri Kelantan dan oleh itu PETRONAS wajib membuat bayaran tunai sebanyak 5% daripada petroleum yang diperolehi daripada luar pantai Malaysia yang bersetentangan dengan Kelantan kepada Kerajaan Negeri Kelantan.

(Petikan dari surat YBM Tengku Razaleigh Hamzah kepada YAB Menteri Besar Kelantan, 30 Julai 2009).

Tiada ulasan: