Ahad, 7 Februari 2010

Kenapa bukan Melayu terus sokong Pas?

Editor Sinar Harian

Sahabat saya ini, bukanlah seorang pemimpin besar namun jauh di lubuk jiwanya, tersemai cita-cita yang tinggi menggunung. Saya kenalinya kira-kira 30 tahun lalu, ketika itu dia mula menjejakkan kaki di bumi Kelantan dari negeri asalnya Kedah, setelah menerima pertukaran untuk mengajar di sebuah sekolah rendah Cina di Pulai Chodong.

Ketika itu, usianya baru hampir pertengahan 20-an. Selain kariernya sebagai pendidik, bakat kepimpinan mula terserlah apabila menjadi pengerusi sebuah pertubuhan belia yang giat menganjurkan pelbagai aktiviti di Kota Bharu

Tidak lama kemudian, dia terlibat pula dunia politik dengan menyertai Pemuda MCA sehingga menjadi pemimpin Pemuda MCA paling lantang di Kelantan.

Barangkali karier guru gagal memenuhi hasrat dan misi hidupnya, dia kemudian meninggalkan dunia pendidikan dan mengalih karier pula menjadi wartawan sepenuh masa di sebuah akhbar Cina.

Daripada guru, pemimpin belia, ahli MCA, wartawan kini sahabat saya ini melonjakkan namanya sebagai seorang pemimpin peringkat nasional. Jawatan yang dipegangnya pun bukan calang-calang, iaitu Pengerusi Kelab Penyokong Pas Pusat.

Itulah antara rentetan pengalaman Hu Pang Chaw, seorang pemimpin bukan Melayu yang cukup berpengaruh dalam pucuk pimpinan Pas Pusat. Kini, usahanya selama ini menjadi Pengerusi Kelab Penyokong Pas Pusat akan menjadi lebih bermakna lagi apabila kelab itu kelak bertukar nama sebagai Dewan Perhimpunan Penyokong Pas Pusat.

Daripada sebuah kelab ditubuhkan pada tahun 2004 kini menjadi dewan perhimpunan memang besar ertinya, apatah lagi peranan ahli-ahli dalam kelab penyokong ini yang terdiri daripada kaum bukan Melayu mampu menjadi penentu kemenangan calon Pas di sesetengah kawasan pilihan raya.

Hu pastinya gembira dengan hasratnya tercapai setelah kelab di bawah pimpinannya diberi peranan lebih besar oleh pucuk pimpinan Pas Pusat. Kelab Penyokong Pas dikatakan kini mempunyai lebih 20,000 ahli daripada kaum India, Cina, Siam dan Iban.

Pas walaupun sebuah parti politik yang berteraskan Islam dalam perjuangannya, namun ia tidak memainkan isu-isu sentimen perkauman. Itulah yang dilihat Hu dan sebab itulah dia yakin Pas akan diterima oleh pengundi bukan Melayu.

Di Kelantan, walaupun jumlah pengundi bukan Melayu amatlah kecil, namun jika mana-mana politik yang pandang enteng akan pengaruh kaum ini, padah akibatnya.

Dalam pilihan raya umum lalu, telah terbukti beberapa kawasan di Kelantan yang dimenangi oleh calon Pakatan Rakyat mahupun Barisan Nasional adalah dengan majoriti yang kecil dan yang menjadi penentu keputusan sebenarnya adalah pengundi bukan Melayu.

Sumbangan pengundi bukan Melayu yang membolehkan Pas terus menerajui Kerajaan Negeri Kelantan tidaklah boleh diperkecilkan.

Malahan Pas akan lebih diterima lebih ramai kaum bukan Melayu sekiranya perjuangannya tidak lagi hanya mahu bina negara Islam, tetapi terus menentang kemungkaran dan ketidakadilan.


Tiada ulasan: