Rabu, 17 Februari 2010

Kemelut politik Perak belum berakhir, pembangkang tidak iktiraf Ganesan sebagai Speaker — Mohd Feroz Abu Bakar

MALAYSIAN INSIDER


Meskipun Mahkamah Persekutuan sudah mengisytiharkan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar yang sah, belum ada jaminan keadaan politik di Perak akan tenang selepas ini terutama apabila sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hendak diadakan.

Pihak pakatan pembangkang meskipun terpaksa akur dengan keputusan mahkamah itu, masih mahu bertegang leher apabila Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menegaskan bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang masih mengiktiraf V Sivakumar sebagai Speaker DUN Perak.

Bercakap dalam sidang media di Pejabat Pas negeri di Ipoh, baru-baru ini, Mohammad Nizar mendakwa pemilihan Datuk R Ganesan sebagai Speaker dilakukan dengan tidak mengikut prosedur betul dan pelantikan itu tidak sah.

Ini bermakna, Adun pakatan pembangkang hanya akan menghadiri Sidang DUN jika dipanggil oleh Sivakumar yang juga Adun Tronoh, bukannya Ganesan. Sidang DUN mesti diadakan sebelum hujung bulan depan untuk mengelak jurang tempoh melebihi enam bulan dari sidang yang lalu, iaitu pembentangan Bajet 2010 pada 28 September 2009.

Inilah persoalannya sekarang dan tiada jaminan peristiwa seperti sidang DUN diadakan di bawah pokok, tidak akan berulang selepas ini.

Jika benar Mohammad Nizar akur dengan keputusan mahkamah itu dan menerima hakikat bahawa Dr Zambry adalah Menteri Besar yang sah, beliau juga mesti menerima pelantikan Ganesan sebagai Speaker DUN.

Jika tidak, kemelut politik Perak akan berterusan dan setiap kali sidang DUN hendak diadakan nanti, pintu masuk dan keluar bangunan DUN dalam kompleks Bangunan Perak Darul Ridzuan, akan sentiasa dikawal rapi oleh polis.

Rakyat sudah mual melihat peristiwa seperti ini dan biarlah segala-galanya menjadi noktah sebaik Mahkamah Persekutuan membuat keputusan bersejarah itu minggu lalu. Jika pakatan pembangkang tidak puas hati, serahkan kepada rakyat untuk menentukan apabila tiba masa pilihan raya nanti.

Namun, buat masa ini rakyat Perak menunggu langkah seterusnya wakil rakyat Pas, PKR dan DAP terhadap janji mereka untuk menjadi pembangkang yang efektif.

Dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi, pengundi negeri itu akan menentukan sama ada Adun di kawasan masing-masing, betul-betul berkesan dalam memainkan peranan mereka atau sebaliknya.

Ketika ditanya sama ada langkah pembangkang tidak mahu lagi meneruskan agenda membubarkan DUN Perak bermakna pakatan pembangkang mengalah kepada BN, Mohammad Nizar memaklumkan mereka tidak mengalah, cuma mengubah strategi sesuai dengan keputusan Mahkamah Persekutuan mengesahkan Zambry sebagai Menteri Besar Perak ke-11.

“Ini bukan bermakna kami mengalah. Ini perubahan strategi sesuai dengan keadaan semasa,” katanya.

Dengan ikrar menjadi pembangkang yang berkesan, Mohammad Nizar dijangka bertindak sebagai Ketua Pembangkang dalam sidang DUN nanti. Jawatan itu baru diwujudkan ketika pentadbiran pakatan pembangkang selama 11 bulan bermula hujung Februari 2008 dan diluluskan dalam Sidang DUN.

Ketika itu, Mohammad Nizar menegaskan jawatan Ketua Pembangkang diwujudkan untuk Adun BN sebagai menghormati peranan mereka sebagai pembangkang dalam Sidang DUN Perak.

Mereka berharap bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali dilantik oleh semua Adun BN sebagai Ketua Pembangkang tetapi angan-angan mereka tidak kesampaian kerana Tajol Rosli menolak jawatan terbabit.

Ketua Pembangkang diberi elaun kira-kira RM2,000 sebulan dan pejabat khas di bangunan DUN dalam kompleks Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Isu kedua ialah Adun Pasir Panjang, Mohammad Nizar juga menganggap kerajaan BN pimpinan Dr Zambry sekarang goyah kerana mudah diperas-ugut oleh tiga Adun bebas yang menyokong BN dan memberi margin tiga kerusi, iaitu 31 Adun kepada kerajaan berbanding pembangkang 28 Adun.

“Kerajaan ini tidak bermoral kerana disokong oleh tiga ekor katak,” kata Mohammad Nizar.

Apapun tuduhan dan andaian pembangkang, Zambry yakin keadaan politik di Perak akan terus stabil.

Malah, tiga Adun bebas berkenaan iaitu Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang), Kapten (B) Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (Jelapang) menegaskan mereka masih tetap menyokong BN.

Ketiga-tiga mereka dari PKR dan DAP juga memberi jaminan akan memainkan peranan bagi memastikan keadaan politik di Perak stabil demi kebaikan rakyatnya

Tiada ulasan: