Sabtu, 20 Februari 2010

JK pusat PAS digesa bincang aduan 'konspirasi'

Jimadie Shah Othman



Exco Pemuda PAS Abdullah Karim menggesa jawatankuasa pusat membincangkan aduannya - berhubung dakwaan penglibatan ahli parti dalam 'konspirasi' menjatuhkan Pakatan Rakyat - yang ditolak baru-baru ini.

"Saya mohon agar perkara ini dibincangkan dan diteliti oleh ahli jawatankuasa (AJK) pusat PAS dalam mesyuarat mereka yang akan datang.

"Para pimpinan PAS yang duduk dalam jawatankuasa pusat PAS sudah tentulah lebih bijaksana dalam menilai perkembangan yang berlaku ini," katanya.

Abdullah diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali yang berkata, pejabat agung parti menolak aduan Abdullah kerana tidak cukup merit untuk dipanjangkan kepada jawatankuasa disiplinnya.

Ketika dihubungi Malaysiakini semalam, Abdullah berkata, beliau menanggap keputusan yang diumumkan Mustafa melalui media baru-baru ini hanyalah pandangan peribadi.

Abdullah yang kini menetap seketika di United Kingdom berkata, tidak perlu untuknya menghantar surat bagi menyatakan hasratnya berhubung perkara itu kerana percaya Mustafa sudah tentu akan melakukannya.

"Keputusan yang dibuat atas nama parti adalah urusan kolektif yang mesti membabitkan organisasi supaya wujud elemen semak dan imbang," katanya melalui e-mel.

Ditanya kenapa perkara tersebut tidak disuarakan melalui ketua Pemuda dan AJK PAS Nasrudin Hassan untuk dibangkitkan dalam mesyuarat yang akan datang, Abdullah menjawab:

"Ini aduan saya buat atas kapasiti peribadi sebagai ahli PAS. Ia tidak membabitkn mana-mana organisasi dalam hirarki parti," katanya sambil menegaskan aduan itu melibatkan perkara sulit.

Sehingga semalam, Abdullah masih enggan mendedahkan bukti-bukti dakwaannya serta pihak yang terlibat dalam 'konspirasi' yang didakwanya itu.

"Saya kena tunggu dulu hasil mesyuarat AJK PAS pusat," katanya.

Tiada ulasan: