Isnin, 15 Februari 2010

Jawi tahan 74 penuntut IPT, kolej terbabit maksiat

SINAR HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR – Penuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) dan kolej antara yang ditangkap dalam operasi cegah maksiat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sempena sambutan Hari Kekasih, malam semalam.

Difahamkan, penuntut terbabit dari sekitar Kuala Lumpur serta beberapa negeri lain, termasuk Selangor dan Pahang.

Dalam operasi serentak malam semalam, 74 dicekup dalam beberapa operasi dijalankan di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Pengarahnya, Datuk Che Mat Che Ali berkata, operasi selama enam jam bermula jam 11 malam hingga 5 pagi itu tertumpu di beberapa hotel yang sering menjadi sarang maksiat selain tempat awam yang menjadi tumpuan muda mudi memadu asmara.

Menurutnya, operasi di Kuala Lumpur telah disertai 50 anggota Penguat kuasa Jawi dengan dibantu Penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dibahagikan kepada beberapa pasukan.

“Dalam operasi di lapan buah hotel sekitar Kuala Lumpur, kita berjaya menahan 44 remaja dan dewasa umur lingkungan 20-an dan 30-an atas kesalahan khalwat.

“Empat pasang ‘kekasih’ pula ditangkap kerana berkelakuan tidak sopan dalam operasi di sekitar Taman Tasik Titiwangsa, Taman Tasik Permaisuri dan Taman Tasik Kepong,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Beliau berkata, pesalah khalwat yang ditahan dibawa ke pejabat Jawi untuk soal siasat dan akan didakwa di bawah Seksyen 27 Akta Kesalahan Jenayah Syariah.

“Lapan termasuk 14 yang ditahan dalam operasi di Putrajaya atas kesalahan di bawah Seksyen 29 akta sama kerana berkelakuan tidak sopan pula diperintahkan hadir mengikuti sesi kaunseling.

“Dalam operasi di Labuan, empat ditahan kerana minum arak dan dua pasangan berkelakuan tidak sopan,” katanya.

Tiada ulasan: