Jumaat, 19 Februari 2010

Harussani bidas Sisters in Islam

UTUSAN ONLINE


PUTRAJAYA - Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria hari ini membidas Sisters in Islam (Sis) yang menyifatkan tindakan merotan tiga wanita Islam atas kesalahan melakukan persetubuhan haram sebagai diskriminasi terhadap wanita.

Tegas beliau, mana-mana pihak yang mempunyai tanggapan sedemikian bermakna mereka tidak mempercayai hukum Allah dan boleh dianggap terkeluar daripada Islam.

''Orang seperti ini tidak faham hukum Islam, mereka menentang dan membenci hukum Islam kerana terpengaruh dengan orientalis Barat yang menentang Islam.

''Kalau hendak diambil kira hukuman enam kali sebatan itu ia begitu ringan sedangkan asalnya 100 kali sebatan terhadap mereka yang melakukan persetubuhan haram manakala 80 kali sebatan terhadap yang minum arak," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Dalam hal ini, Harussani memuji bekas model sambilan yang didapati bersalah meminum arak, Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32, yang bersedia menjalani hukuman sebat.

''Dia mengaku kesalahannya dan mahu dihukum secara Islam, jadi Kartika seorang yang jujur dan mempunyai kesedaran," kata beliau.

Sisters in Islam hari ini mendakwa tindakan Jabatan Penjara pada 9 Februari lalu merotan tiga wanita Islam atas kesalahan mengadakan persetubuhan haram sebagai satu diskriminasi terhadap wanita.

Pertubuhan itu mendakwa tindakan merotan itu mencabuli hak sama rata dan tiada diskriminasi yang dijamin oleh Perlembagaan kerana wanita tidak boleh disebat menurut Seksyen 289, Akta Kanun Jenayah.

Dalam kenyataan akhbarnya itu, Pengarah Eksekutif Sis, Hamidah Marican berkata, memandangkan beberapa isu syariah berhubung pelaksanaan hukuman seperti kes Kartika Sari yang masih belum selesai, tindakan kerajaan itu dipertikaikan.

Tiada ulasan: