Ahad, 7 Februari 2010

Hadi: PAS sedia dialog dengan Umno isu Islam, rakyat

DETIK DAILY / M/Insider

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, PAS sudah lama bersedia untuk berdialog dengan Umno-Barisan Nasional, bukan sahaja dalam isu Islam tetapi juga soal-soal berkaitan kepentingan rakyat.

Sebagai contoh kata Hadi, pihaknya sudah menghadiri dialog di Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) bulan lalu, yang merupakan salah satu badan di bawah kerajaan dan ramai pemimpin Umno hadir dalam dialog berkenaan.

“Dan kita telah memberi pandangan kita berhubung isu penggunaan kalimah Allah ini.

“Kita sudah lama terbuka dengan semua termasuk dengan Umno.

“Kita juga sudah bersedia untuk berdialog bukan sahaja isu kalimah Allah tapi semua isu melibatkan ekonomi, sosial, kebajikan dan sebagainya,” kata beliau dipetik Harakah Daily selepas menghadiri taklimat khas Presiden PAS berhubung isu penggunaan nama Allah oleh orang bukan Islam hari ini.

Di Kota Baru, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sekali lagi mengulangi kesediaan beliau untuk berdialog dengan Umno, tetapi ia hanya akan berkisar pada soal agama Islam.

Sehubungan itu tegas Menteri Besar Kelantan, perbincangan tersebut hanya akan membabitkan kepada persoalan iaitu mengapa Umno tolak Islam dan PAS.

Idea itu pertama kali dibangkitkan oleh Nik Aziz dua hari lalu.

Katanya, Umno dan PAS perlu menghentikan pertelagahan mengenai politik, sebaliknya duduk semeja bagi membincangkan isu-isu berkaitan agama Islam.

Menteri Besar Kelantan itu dipetik sebagai berkata pemimpin Umno perlu memikirkan mengenai pentingnya kedua-dua parti itu membincangkan isu yang menyentuh agama kerana tiada faedahnya jika kedua-dua parti mengamalkanpendekatan permusuhan politik.

Pagi tadi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meminta agar PAS lebih tegas dalam pendiriannya sebelum membuat tawaran untuk berbincang dengan Umno mengenai sebarang isu.

Najib yang juga Presiden Umno berkata pendirian tegas PAS amat diperlukan sebelum sebarang keputusan dibuat kerana pengalaman sebelum ini membuktikan PAS tidak konsisten dan selalu berdolak-dalik dalam pendiriannya.

“Saya tak tau nak kata apa sebab pendirian dia (Nik Aziz) ni bertukar macam cuaca, ada masa dia setuju, ada masa tak setuju, ada masa tutup, jadi saya tak tahu apa pendirian sebenarnya.

“Saya nak tunggu pendirian yang tegas oleh PAS, jadi bila dia bersikap dolak-dalik ni susah nak cerita,” kata Najib.

Tiada ulasan: