Jumaat, 19 Februari 2010

Gubah wang haram RM60 juta: Penerbit filem, anak dibicara 19 Julai

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 19 Julai ini untuk mendengar perbicaraan kes penerbit filem, Datuk Adzhar Sulaiman dan dua anak perempuannya yang didakwa menggubah wang haram berjumlah RM60 juta.

Hakim Rozana Ali Yusoff menetapkan demikian selepas kedua-dua pihak hadir bagi pengurusan kes tersebut.

Pada 22 Disember lalu, Adzhar, 55, didakwa atas 28 tuduhan manakala anaknya, Noradzma, 34, dan Noradzrin, 25, masing-masing menghadapi 166 tuduhan menggubah wang haram.

Noradzma merupakan pengarah syarikat Noradz Travel & Services Sdn. Bhd. manakala Adzhar dan Noradzrin merupakan pegawai kanan di syarikat tersebut.

Adzhar pernah menerbitkan filem ‘Shh... Dia Datang’ melalui syarikat Noradz Productions Sdn. Bhd. yang dibintangi oleh Saiful Apek.

Syarikat itu yang beralamat di No 14-1A, Jalan 3/10, Pandan Jaya turut menghadapi dakwaan menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen di bawah seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan 1989 (Akta 372), antara Julai 2006 hingga Oktober 2008.

Bagaimanapun, ketika didakwa kesemua mereka mengaku tidak bersalah menggunakan wang tersebut untuk membeli beberapa hartanah di Perak dan Pahang, membeli produk insurans, pelaburan serta memindahkan wang ke akaun anak syarikat mereka.

Kesemua tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM1 juta berserta cagaran sebanyak RM150,000 dengan seorang penjamin.

Mereka didakwa melakukan aktiviti penggubahan wang haram tersebut di beberapa buah bank di sekitar Kuala Lumpur termasuk di EON Bank Berhad, Malayan Banking Berhad, Ambank (M) Berhad dan Eoncap Islamic Berhad di antara 14 Ogos 2007 dan 6 Januari tahun lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang boleh membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Selain itu, Adzhar dan Noradzma turut menghadapi tuduhan menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen yang sah di antara Julai 2006 dan Oktober 2008 di No. 14-1A, Jalan 3/10, Pandan Jaya, di sini.

Bagi tuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 (Akta 372) yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam bela, Datuk Salehuddin Saidin dan Abdul Rahim Sinwan.

Manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Farez Rahman dan pegawai pendakwa dari Bank Negara Malaysia, Anthony Kolaraj.

Tiada ulasan: