Sabtu, 20 Februari 2010

GMI: Warga Timur Tengah 'dikambing hitam' kerajaan

Nazri Abdullah


KUALA LUMPUR: Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) mendakwa kerajaan telah menjadikan 12 orang, majoriti pelajar warga Timur Tengah yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebagai 'kambing hitam' bagi mengalih tekanan antarabangsa behubung ancaman pengganas di Malaysia.

Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, tuduhan bahawa mereka adalah pengganas dan tersenarai sebagai orang paling dikehendaki oleh negara asal, agensi perisik dan badan anti pengganas antarabangsa adalah sangat melampau.

Kerajaan juga jelasnya terlalu mudah membuat justifikasi bahawa mereka adalah pengganas tanpa memberikan mereka ruang membela diri di mahkamah dan menggunakan khidmat peguam.

"Secara khusus ia mungkin berkait dengan amaran pengawasan perjalanan Amerika Syarikat ke atas warga asing di timur Sabah.

"Malah tidak mustahil juga ia berkaitan dengan dakwaan bahawa tahanan merupakan kumpulan yang dikaitkan dengan gerakan Wahabiyyah yang kononnya agen keganasan antarabangsa," katanya sewaktu mengemukakan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) siang tadi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada Januari lalu mengesahkan 10 terbaru ditahan di bawah ISA kerana keganasan dan rangkaian pengganas antarabangsa.

Penahanan tersebut ekoran penangkapan kira-kira 50 orang pada 21 Januari lalu di Sungai Cincin, Gombak semasa mereka menghadiri kuliah agama di sebuah rumah.

Menurut GMI, dari 50 yang ditangkap, 12 dari mereka di tahan lanjut di bawah ISA manakala selebihnya dibebaskan pada 23 Januari lalu.

Sembilan yang dikenal pasti adalah seorang warga Malaysia- Azzahari Murad, empat warga Syiria- Aiman Al Dakkak (pelajar PHD USM), Mohamed Hozifa, Kutiba Al-Issa (Mahasiswa), Hassan Barudi, seorang warga Yaman- Khalid Salem (mahasiswa), dua warga Negeria- Luqman Abdul Salam (mahasiswa), Abdul Alhi Bolajoko Uthman, dan sorang warga Jordan- Hussam Khalid.

Manakala tiga lagi masih gagal dijelas dan disahkan oleh pihak kerajaan.

GMI juga turut mengecam tindakan kerajaan yang mahu meghantar pulang sembilan tahanan tersebut ke negara asal masing-masing sedangkan kebanyakan dari mereka belum lagi tamat pengajian.

"Kita minta bebaskan mereka, kerana mereka tidak dibuktikan membuat kesalahan, biarkan mereka habiskan belajar.

"Kita tidak tahu sekiranya mereka dihantar pulang, apakah pula nasib mereka, apakah tindakan negara mereka," soal Syed Ibrahim lagi.

Apa yang dibimbangkan bukan sahaja nasib mereka yang ditahan, malah ahli keluarga yang ada diantaranya bergantung harap kepada mereka.

Beberapa ahli keluarga terdekat termasuk seorang isteri kepada tahanan juga turut hadir ke pejabat SUHAKAM siang tadi.

Mereka memberitahu tidak dimaklumkan berhubung penahanan itu dan hanya mengetahuinya dari laporan media dan mahu ahli keluarga mereka yang ditahan segera dibebaskan.

Seorang lagi wakil keluarga yang ditahan, Homam Abdulalim berkata beliau hairan kenapa mengaitkan wahabi dan salafi sebagai pengganas.

" Salafi adalah anti-pengganas, kami menggelar pengganas sebagai khawarij," katanya.

Manakala SUHAKAM dalam respon mereka pula berkata akan mengambil tindakan serius dan akan bertemu pihak berkuasa bagi mendapatkan fakta sebenar penahan tersebut.

" Saya akan pastikan kes serius seperti ini tidak disembunyikan di bawah karpet," kata pesuruhjayanya Datuk N Siva Subramaniam.

Tiada ulasan: