Selasa, 23 Februari 2010

Ganti dulu pemimpin Umno bersalah, bukan PR

DETIK DAILY / HARAKAHDAILY


Pensyarah universiti dan akhbar Utusan Malaysia sepatutnya menggesa pemimpin Umno yang jelas disabitkan dengan kesalahan rasuah digantikan terlebih dahulu daripada membuat gesaan itu kepada Pakatan Rakyat (PR) supaya menggantikan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Penerangan PAS Melaka, Sofi Wahab berkata, antara pemimpin Umno yang telah disabitkan dengan kesalahan rasuah termasuk oleh parti mereka sendiri seperti Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Adun Bagan Pinang, Tan Sri Isa Samad.

Ini, katanya kerana mereka telah didapati bersalah sedangkan Anwar belum dibuktikan bersalah.

“Ada pemimpin Umno yang 'melarikan' anak raja, membawa duit 'cash' keluar negeri dengan banyak, rasuah, skandal, pernah bunuh orang dan sebagainya tetapi masih mendapat tempat dalam Umno selepas melakukan perkara tersebut tetapi mengapa Umno dan pimpinannya terus memberikan kepercayaan kepada mereka itu pada suatu ketika dahulu,” ujarnya.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas laporan Utusan Malaysia hari ini yang menyiarkan kenyataan Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Md. Shukri Shuib supaya pemimpin Pakatan Rakyat menggantikan Anwar sebagai ketua.

Katanya, perkara itu perlu kerana Anwar memberi rekod paling buruk kepada pakatan pembangkang dalam sejarah negara kerana belum pernah ada mana-mana pemimpin sama ada Ketua Whip atau Ketua Pembangkang yang menghadapi pertuduhan sebegitu di mahkamah.

Justeru katanya, pemimpin pembangkang perlu memilih sama ada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang atau Penasihat DAP, Lim Kit Siang sebagai ketua mereka bagi menggantikan Anwar.

Bagi Sofi, kenyataan itu merupakan suatu kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan menghina mahkamah kerana Anwar belum dibuktikan bersalah dan ramai pemerhati dalam dan luar negeri berpendapat kes itu adalah konspirasi kedua terhadap Anwar sebagaimana konspirasi 1998 di mana akhirnya Anwar dibuktikan tidak bersalah.

Tambahnya, Utusan adalah akhbar yang diperkudakan Umno untuk mengelirukan rakyat terus istiqamah melakukan kerja terkutuk memporak perandakan pemikiran rakyat supaya lebih bercelaru dan kacau.

“Tidak ada kerja lain selain melaga-laga, memfitnah, membohong dan sebagainya. Tujuan hanya satu memecahbelahkan Pakatan Rakyat dan memberikan gambaran buruk PR kepada rakyat,” ujarnya.

Menurutnya, Utusan sentiasa mencari sesiapa sahaja yang sanggup membuat kenyataan akhbar sedemikian bagi mencapai hajat dan niatnya memuaskan hati tuannya iaitu pemimpin Umno.

“Kadang-kadang professor kangkung dan sesiapa sahaja dikambinghitamkan untuk membuat kenyataan tersebut,” ujarnya lagi.

Tiada ulasan: