Selasa, 9 Februari 2010

Gagal di Kerpan, Kini Di Setiu

DR AZMAN

Masihkah kita ingat dengan sebuah syarikat bernama Blue Archipelago Bhd, anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) yang pernah mengorbankan 463 hektar tanah sawah di Kerpan, Air Hitam, Kedah kira-kira 30 tahun lalu dengan tujuan untuk dibina projek Ladang Ternakan Udang Harimau walaupun menerima bantahan hebat para petani. Projek yang dibina diiringi rintihan dan air mata para petani Kerpan akhirnya mengalami kegagalan total dengan kesan tinggalan yang bukan sedikit sama ada dari segi mata pencarian para petani, kemusnahan tanah sawah dan seterusnya kesan alam sekitar.

Kini sejarah pahit penduduk Kerpan bakal berulang semula, cuma di lokasi yang berbeza. Sejumlah kira-kira 1,200 hektar tanah bermula di Kampung Nyatoh hingga ke Kampung Banggol di dalam Dun Permaisuri akan dimajukan dengan Projek Taman Akuakultur Udang Bersepadu atau lebih dikenali sebagai 'Integrated Shrimp Aquaculture Park (i-SHARP)' yang bernilai RM200 juta. "Kira-kira 500 peluang pekerjaan akan diwujudkan dan kita akan pastikan 90 peratus akan diisi oleh anak tempatan." Itulah janji manis Blue Archipelago.

Projek penternakan udang di kawasan seluas 1,200 hektar yang merangkumi kawasan Kampung Nyatoh dan Kampung Banggol, Permaisuri akan dijalankan dalam tiga fasa, dengan fasa pertama dimulakan di tapak seluas 400 hektar. Antara kawasan tanah yang terlibat adalah tanah yang telah dibahagikan oleh kerajaan PAS Terengganu kepada rakyat yang berhak tetapi telah dirampas kembali oleh kerajaan BN pimpinan Idris Jusoh.

Fasa 1 di Nyatoh sudah bermula. Maklumat dari lokasi memaklumkan kerja-kerja menambun tanah telah hampir siap dijalankan dan jalan ke tapak projek telah siap dibina. Fasa 2 di Banggol juga sudah siap dari segi kerja-kerja ukur tanah. Sumber informer di lokasi juga memaklumkan pihak pemaju telah mengadakan survey untuk melihat penerimaan penduduk terhadap projek ini dengan janji penduduk akan mendapat peluang pekerjaan.

Reaksi pelbagai diterima daripada masyarakat setempat dengan majoriti meragui kebenaran janji manis pihak pemaju terbabit berbanding kesan buruk yang akan mereka terima. Apatah lagi Blue Archipelago mempunyai rekod kegagalan lampau di Kerpan walaupun gah dicanangkan sebanyak 10,000 hingga 12,000 tan udang putih dan 5,000 tan udang harimau yang menepati piawaian pasaran antarabangsa dijangka dapat dihasilkan setahun dengan jualan di tahap pengeluaran optimum pula dijangka melebihi RM100 juta setahun.

Di samping janji manis dengan kewujudan peluang pekerjaan yang masih terlalu samar dan saya menggariskan beberapa kesan alam sekitar yang akan timbul walaupun pihak pemaju mendakwa mereka telah mendapat kelulusan jabatan Alam Sekitar tetapi kenyataan Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan WWF-Malaysia menyatakan sebaliknya.

Pertama, kawasan yang akan dibuat kolam adalah kawasan paya bertanah rendah yang akan dilimpahi air Sungai Chaluk ketika musim banjir. Dari segi ekosistem, kawasan paya bertanah rendah dikategorikan sebagai kawasan takungan air. Lantas, untuk mengelakkan kawasan projek bernilai jutaan ringgit ini ditenggelami air, kerja-kerja tebus guna tanah perlu dilakukan supaya kolam udang berada di paras yang lebih tinggi dari aras banjir. Natijahnya, kawasan rendah akan lenyap. Bila tiada lagi kawasan rendah sebagai tempat takungan air, menyebabkan aliran banjir akan beralih ke kawasan sekitar yang didiami penduduk. Lantas, ancaman banjir yang serius akan berlaku.

Tebus guna kawasan hutan paya gelam juga mengakibatkan tempat pembiakan pelbagai spesis ikan air tawar akan tertimbus.

Projek ini juga akan mengakibatkan kemusnahan kepada kira-kira 700 hektar kawasan paya hutan gelam. Di dalam 'Rancangan Tempatan Daerah Setiu' (Setiu Local Plan) 2003-2015, kerajaan negeri telah menetapkan bahawa kawasan tanah lembah adalah kawasan sensitif alam sekitar atau Environmentally Sensitive Area (ESA) dan Setiu Local Plan telah menetapkan di mana hanya aktiviti rekreasi yang dibenarkan untuk dilakukan di kawasan terbabit. Soalnya, siapakah yang begitu hebat berkuasa sehingga boleh mengenepikan ketetapan yang telah dibuat oleh kerajaan mereka sendiri?

Cadangan pihak pemaju untuk menyalurkan sisa buangan kolam udang ke Sungai Chaluk adalah sangat serius ke arah pencemaran dan kemusnahan ekosistem. Mengambil kira projek ini akan menggunakan air laut sepenuhnya, menyalurkan sisa buangan kolam ke sungai akan mengakibatkan pembuangan sisa garam dengan kapasiti di luar kemampuan sungai untuk meneutralkannya khususnya pada musim kemarau.

Projek tersebut juga tidak disokong oleh Tabung Hidupan Liar Dunia, cawangan Malaysia (World Wild Life Fund–WWF) yang turut dirujuk sebagai panel perunding dalam laporan terperinci Impak Alam Sekitar (Detailed Environmental Impact Assessment-DEIA).

WWF-Malaysia menganggarkan kadar buangan ke sungai ini akan menyamai 50,000 kilogram garam untuk setiap jam. Kesannya bukan setakat kepada sungai dan ekosistem sungai tetapi akan turut 'terasa masin' adalah sebarang aktiviti akuakultur yang terdapat di sepanjang sungai dan Lagun Setiu. WWF-Malaysia menambah lagi, di samping pencemaran garam, sisa buangan kolam udang juga mungkin telah dicemari virus.

WWF memaklumkan bahawa mereka telah mencadangkan supaya sisa buangan disalur terus ke laut untuk meminimumkan impak ekosistem berbanding apabila disalurkan ke sungai tetapi ditolak oleh pemaju dan lebih mengecewakan apabila cadangan pemaju disokong pula oleh pihak berkuasa.

Sahabat Alam Malaysia (SAM) yang turut menyatakan kebimbangannya pula memaklumkan, penggunaan air laut sepenuhnya untuk projek ternakan udang ini akan mengakibatkan kesan resapan air laut ke dalam bumi dari kawasan kolam. Kajian mereka mendapati kesan resapan ini akan dirasai sejauh tiga kilometer yang secara langsung tidak memungkin sebarang aktiviti pertanian dijalankan di dalam lingkungan tersebut.

Dr Azman ialah seorang doktor gigi yang merupakan Ketua Penerangan PAS Kawasan Setiu dan Ketua Unit Penerbitan PAS Terengganu

Tiada ulasan: