Khamis, 11 Februari 2010

Flashing Candy diharam

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan melarang sebarang penjualan atau import gula-gula Flashing Candy dari China yang mempunyai mentol bercahaya di dalamnya.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, gula-gula keluaran Zhaoqing Kidstar Toys Manufactory Ltd. itu boleh membahayakan sesiapa sahaja yang memakannya kerana mempunyai mentol LED (Light Emission Diode).

"Mentol bercahaya itu disalut dengan gula-gula dan sekiranya mentol tersebut pecah serta tertelan oleh mereka yang memakannya, ia boleh menyebabkan kecederaan dan seterusnya membahayakan kesihatan," katanya dalam satu kenyataan akhbar.

Gula-gula Flashing Candy mempunyai empat jenis perisa iaitu Kidsmania Pirate Flash Pop, Kidsmania Blink Pop, Kidsmania Baby Flash Pop dan Kidsmania Flash Pop Mini yang setiap satunya mengandungi mentol.

Tiong Lai berkata, kerajaan tidak akan membenarkan import atau jualan sebarang produk makanan berbahaya kepada kesihatan termasuk memberi amaran kepada pengimportnya.

"Kementerian meletakkan produk tersebut dan juga produk lain yang mempunyai ciri-ciri sama pada tahap 'pemeriksaan empat' menerusi sistem maklumat keselamatan makanan Malaysia (FoSIM) dan ini bermakna, ia tidak dibenarkan masuk ke negara ini.

"Kami juga telah memberi amaran kepada pengimport dan ejen makanan untuk tidak mengimport produk tersebut," katanya.

"Sementara di pasaran domestik pula, pemantauan dijalankan bagi memastikan tiada produk seperti itu di pasaran,'' katanya.

Tambah Tiong Lai, mana-mana pihak yang terlibat dalam pengimportan, penyimpanan, penyediaan, pengedaran dan penjualan produk-produk yang membahayakan kesihatan boleh didakwa di bawah Seksyen 13 (1), Akta Makanan 1983.

Katanya, jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Tiong Lai berkata, bagaimanapun, setakat ini kementerian belum menerima sebarang aduan mengenai kecederaan disebabkan oleh produk berkenaan.

Beliau turut menasihati para penjual supaya melaporkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah ataupun Jabatan Kesihatan Negeri sekiranya produk berkenaan ada dalam simpanan mereka.

Maklumat mengenai keselamatan makanan di negara ini boleh didapati dengan melayari laman web Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan di alamat http://fsq.moh.gov.my.

Tiada ulasan: