Khamis, 4 Februari 2010

Enjin F-5E belum selesai, maklumat dalaman pula bocor

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: PAS kesal dengan kerapuhan sistem keselamatan agensi Pertahanan Negara mutakhir ini kerana sebelum kes kehilangan enjin pesawat F-5E selesai, kini timbul pula isu kebocoran maklumat sulit Angkatan Tentera Malaysia.

Menurut ketua penerangan PAS, Idris Ahmad berkata, angkatan tentera sepatutnya menjadi contoh dan penanda aras kepada sistem keselamatan agensi pertahanan lain, namun insiden terbaru ini menimbulkan kebimbangan dihati rakyat kerana negara ini boleh dianggap tidak selamat.

"Apa sahaja kekuatan dan kelematan sistem pertahanan yang ada dalam negara ini begitu senang diketahui musuh.

"Intergriti anggota keselamatan negara bakal menjadi pertikaian jika ianya gagal ditangani segera," katanya.

PAS jelasnya yakin, insiden pembocoran maklumat ini melibatkan pegawai-pegawai kanan berpangkat tinggi kerana dari segi amalan kerahsiaan dalam organisasi Kerajaan dan Pertahanan, hanya mereka yang yang berpangkat tinggi sahaja mempunyai akses terhadap maklumat bertaraf sulit, rahsia dan rahsia besar.

PAS menggesa agar agensi Keselamatan Negara membuat kajian semula tentang tahap keselamatan yang ada kerana rakyat memerlukan satu jaminan yang kondusif terhadap tahap keselamatan negara.

"Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan dinegara maju seperti Jepun pasti akan meletakan jawatan jika perkara sebegini berlaku, adakah Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Malaysia perlu dibiarkan sahaja sedangkan ini adalah insiden kedua yang melibatkan kecuaian yang besar dibawah pentadbiran mereka," katanya lagi.

PAS tegasnya mahu kerajaan mendakwa dan memberikan hukuman yang berat kepada pengkhianat negara yang terlibat dalam kes ini.

Tiada ulasan: