Khamis, 11 Februari 2010

Enam didakwa terima rasuah

Oleh Roslin Abdul Jalil


KUANTAN: Enam penjawat awam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam secara berasingan terhadap tuduhan menerima rasuah membabitkan kes pengeluaran pasir dan bahan batuan.

Di Mahkamah Sesyen 3 di sini, Penolong Pegawai Tanah, Pejabat Daerah dan Tanah Kuantan, Muhammad Nur Irwan Ramly, 31, didakwa menerima RM1,500 daripada Mat Seman Yusoff di Restoran TB Corner Ikan Bakar, Tanjung Lumpur pada jam 9.55 malam pada 13 Julai lalu.

Di Mahkamah Sesyen 1, Penolong Pegawai di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Kuantan, Rozlan Md Amin, 56, didakwa menerima suapan RM1,500 juga daripada Mat Seman di sebuah bilik di Hotel MS Garden, jam 2.20 petang pada 1 Julai lalu.

Rozlan turut menghadapi pertuduhan yang sama di Mahkamah Sesyen Temerloh, iaitu menerima RM1,000 daripada Mat Seman di Restoran McDonald’s Mentakab, kira-kira jam 5 petang 19 Januari lalu.

Di Mahkamah Sesyen 4, Zakaria Mohamad, 49, seorang pekerja rendah awam di PTG Pahang menghadapi dua tuduhan menerima suapan RM800 daripada Mat Seman iaitu RM300 pada jam 11.30 malam 23 Jun lalu, dan RM500 pada jam 1.45 tengah hari, keesokan harinya.

Di Mahkamah Sesyen 2, Azmi Othman, 40, juga pekerja rendah awam di PTG Pahang dituduh menerima suapan RM1,350 daripada Mat Seman iaitu RM500 pada jam 6.15 petang 25 Jun lalu, dan menerima RM850 pada jam 7 petang 8 Julai lalu, di Restoran Ana Ikan Bakar Petai, di sini.

Di Mahkamah Sesyen 5, di sini anggota polis trafik, Sarjan Mahir Epandi Ahmad, 48, menghadapi dua tuduhan menerima suapan RM1,000 daripada Teoh Ting Keong sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap lori angkut pasir di Hotel Seri Malaysia pada Julai dan Ogos lalu.

Di Mahkamah Sesyen 6, seorang lagi anggota trafik dari IPK, Sarjan Ab Malek Sulaiman, 43, menghadapi tiga pertuduhan menerima suapan RM1,500 juga daripada Teoh.

Tiada ulasan: