Rabu, 24 Februari 2010

Dr Mahathir Harap BN Timbang Keahlian Terus

BERNAMA


HETHEL (NORFOLK): Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Barisan Nasional perlu menimbang cadangan menerima keahlian terus kerana ia membawa banyak manfaat.

Bercakap kepada pemberita selepas melawat ibu pejabat pasukan lumba kereta Lotus di sini pada Selasa, beliau berkata bahawa pada masa lepas, BN (ketika itu Parti Perikatan) pernah mengamalkan sistem itu tetapi masalah timbul apabila ahli-ahli terus, iaitu mereka yang bukan daripada mana-mana parti komponennya, mahu menjadi calon dalam pilihan raya dan ini tidak disenangi parti-parti komponen.

"Disebabkan itu, keahlian terus Perikatan ini dimansuhkan. Tetapi keadaan mungkin sudah berubah dan sebab itu kita harus menimbangnya semula," katanya ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa BN akan mengadakan satu konvensyen penghujung tahun ini untuk membincangkan cadangan meminda Perlembagaan BN bagi menerima individu, parti politik atau NGO yang menyokong BN menjadi ahlinya secara terus.

Dr Mahathir, yang juga bekas Presiden Umno dan Pengerusi BN, berkata sesetengah pemimpin peringkat akar umbi mungkin membantah cadangan itu kerana merasakan kedudukan mereka terancam disebabkan kemasukan ahli yang lebih berkelayakan.

"Dalam keadaan seperti itu, ahli seperti ini boleh terus menyertai BN kerana pemimpin peringkat rendah ini yang mungkin bercita-cita menjadi calon, tidak boleh menyekat," katanya.

Tiada ulasan: