Ahad, 14 Februari 2010

Dari korporat ke politik: Cabaran Khalid di Selangor

Chen Shaua Fui



Kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor bukan sahaja perlu berdepan dengan musuh politiknya UMNO-BN di luar, tetapi juga terjerat dalam pergelutan kuasa yang wujud dalam gabungan parti itu dirinya.

Sistem birokrasi yang tidak terkawal, ditambah pula kerajaan tempatan yang kurang cekap dan sebagainya, telah mencungkil ketidakpuasan pengundi. Lebih-lebih lagi, sesetengah dasar seperti pembekuan projek pembangunan di cerun bukit, turut mengundang ketidakpuasan pihak pemaju.

Keadaan bertambah runcing apabila kerajaan negeri PR Selangor diserang bertubi-tubi oleh lidah UMNO, Utusan Malaysia, malah khabar angin bahawa kerajaan ini bakal digulingkan tidak pernah terhenti. Prestasi "Reformasi" yang gagal menjangkau harapan rakyat, ditambah pula sesetengah pemaju yang dikatakan sedang mengerah sokongan untuk menjatuhkan kerajaan PR (lantaran ketidakpuasan tadi), maka kemungkinan kerajaan PR boleh mengekalkan kuasa di Selangor pada PRU ke-13 telah menjadi tanda soal.

Pimpinan Khalid Ibrahim

Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim (gambar kiri) menjadi tumpuan apabila tokoh korporat yang berkecimpung dalam bidang politik ini dikatakan cuba menerapkan corak korporatnya ke dalam pentadbiran kerajaan.

Walaupun prestasinya terserlah dalam pengurusan kewangan, misalnya menstruktur-semula sumber negeri Selangor, dan berjaya mengurangkan defisit kewangan, tetapi sesetengah pemimpin PR tetap tidak menyenanginya kerana menganggap kepekaan MB ini terhadap politik agak rendah.

Ramai ahli parlimen dan ADUN PR, terutamanya dari Kelab Penyokong tidak puas hati kerana Khalid Ibrahim tidak menyingkirkan pegawai kanan dalam sistem birokrasi yang enggan melaksanakan dasar kerajaaan negeri. Juga, Khalid dilihat "tidak cukup berani" untuk merombak kabinet kerajaan negerinya, misalnya menyingkirkan EXCO yang lemah prestasinya.

Pada 19 November 2009, DUN Selangor meluluskan pengambil-alihan hutang sejumlah RM392 juta yang ditunggak oleh Kumpulan Talam. Amalan ini adalah sesuatu yang lumrah dalam dunia korporat, tetapi tidak pernah dilakukan oleh mana-mana kerajaan. Keputusan ini mencungkil ketidakpuasan bekas Setiausaha Agung PKR, Salehuddin Hashim, yang membidas Khalid dalam email kepada wakil rakyat PKR.

Sistem penyampaian perlu dimantapkan

Dalam satu taklimat dalaman antara wakil rakyat PKR pada 26 Januari tahun ini, terdapat wakil yang membangkitkan masalah "sistem birokrasi yang gagal dikawal" oleh kerajaan negeri Selangor, lantas menjejaskan keberkesanan sistem penyampaian. Akibatnya, ramai wakil rakyat dilimpahi rungutan pengundi.

Sistem birokrasi yang sedia ada enggan memberi kerjasama sejak kerajaan negeri PR terbentuk selepas PRU ke-12, dan ini menjadi batu penghalang dalam operasi pentadbiran. Misalnya, Majlis Perbandaran Ampang Jaya mencetuskan pertikaian apabila merobohkan kuil Sri Maha Kaliamman pada September 2008. Baru-baru ini pula, Majlis Perbandaran Klang secara senyap merobohkan stesen teksi di utara Klang pada awal pagi 20 Januari 2010, turut mengundang ketidakpuasan wakil rakyat kawasan itu, S.Manikavasagam.

Sebagaimana yang dimaklumkan, wakil rakyat PR tidak puas hati dengan Khalid Ibrahim kerana tidak menukarkan Yang Di-Pertua Majlis Daerah dan Datuk Bandar setelah menerajui tampuk kerajaan negeri. Pegawai kerajaan ini mewarisi kerenah birokrasi yang lama, dan tidak mematuhi dasar kerajaan negeri Selangor ketika menjalankan tugas.

Menurut seorang ahli Majlis Perbandaran, Ronnie Liu (gambar kanan) yang memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan juga menghalang penguatkuasaan pegawai Majlis Perbandaran, seperti mendenda pemilik warung yang tidak memenuhi syarat kebersihan yang ditetapkan. Ini menjurus kepada prestasi kerajaan tempatan yang gagal memenuhi harapan rakyat.

Disebabkan perkhidmatan kerajaan tempatan bakal memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat, sesetengah pemimpin PR khuatir seandainya mereka gagal mendapat kerjasama daripada sistem birokrasi, maka pengundi akan menganggap pentadbiran kerajaan negeri kurang cekap. Ia disusuli dengan ketidakpuasan rakyat, dan mungkin diakhiri dengan kekalahan PR pada PRU ke-13.

Mempertingkatkan penyertaan ADUN

Seorang ADUN yang menghadiri taklimat tersebut berkata kepada MerdekaReview, ADUN dari Kelab Penyokong Kerajaan PR Selangor menyatakan harapan mereka untuk memainkan peranan yang lebih aktif, dan melibatkan diri dalam proses membuat keputusan di Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Hasilnya, Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim mengarahkan agar portfolio di bawah EXCO PKR menubuhkan kumpulan yang dianggotai ADUN untuk terlibat dalam proses membuat keputusan.

Ketidakpuasan terhadap Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bukanlah sesuatu yang baru. Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, Azmin Ali (gambar kiri) pernah melontarkan kritikannya pada 9 Julai tahun lalu, malah mencadangkan agar MB merombak barisan EXCO-nya dengan menyingkirkan EXCO-nya yang kurang cekap. Bagaimanapun, Khalid Ibrahim telah menyatakan bahawa beliau tidak berniat untuk berbuat demikian setakat ini.

Tiada ulasan: