Rabu, 24 Februari 2010

Cuti bersalin 90 hari: Kempen 1 juta tandatangan NUBE

BERNAMA


KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) akan melancarkan satu kempen mengutip sejuta tandatangan bagi menyokong cadangan agar pekerja wanita di negara ini diberikan cuti bersalin lebih lama.

Kempen akan bermula pada 8 Mac bersempena dengan Hari Wanita Antarabangsa, kata Setiausaha Agung NUBE, J. Solomon hari ini.

Kempen itu bertujuan mendesak kerajaan meminda Akta Pekerjaan 1955 bagi menambah bilangan hari cuti bersalin daripada 60 hari sekarang ini kepada 90 hari, selaras dengan amalan di negara-negara anggota ASEAN yang lain, katanya di sini hari ini.

Solomon berkata, NUBE akan menganjurkan beberapa program semasa kempen itu bagi meningkatkan kesedaran dengan menjemput ahli kesatuan sekerja, wakil Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), pertubuhan wanita, pakar perubatan, ahli akademik, jabatan dan agensi kerajaan berkaitan dan media, sepanjang kempen bagi mendapatkan tandatangan itu dapat dicapai.

NUBE percaya pertambahan hari kelayakan cuti bersalin “akan menjadi satu hadiah bermakna kepada kira-kira 5.1 pekerja wanita daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.”

Tiada ulasan: