Ahad, 14 Februari 2010

Akhbar Cina (I): Sasaran Media Prima seterusnya?

Chang Teck Peng



Desas-desus tersebar bahawa Media Prima yang dimilik-kawal oleh UMNO-BN, bakal mengambil alih sebuah akhbar bahasa Cina, sebagai pelengkap kepada rangkaian media milikannya yang melangkaui pelbagai bahasa pengantar.

Penasihat Kumpulan (Kandungan Bahasa Cina) Media Prima Berhad , Goh Hin San (gambar kanan) walaupun enggan mengesahkan khabar ini, tetapi mengakui bahawa Media Prima berniat untuk "memiliki satu kumpulan media yang 'sempurna'", malah "lebih ideal seandainya memiliki akhbar bahasa Cina".

Bahkan, beliau berharap agar komuniti Cina bersikap optimis terhadap media bahasa Cina yang diusahakan kumpulan Media Prima, berdasarkan prestasi yang ditunjukkan dalam buletin bahasa Cina ntv7 dan 8TV.

Rangkaian media milikan Media Prima

Media Prima Berhad menjadi syarikat tersenarai di Bursa Malaysia sejak 22 Oktober 2003, dengan rangkaian yang merangkumi media elektronik, media cetak, iklan, penerbitan rancangan dan media baru. Media Prima menguasai kesemua stesen televisyen free-to-air, tiga stesen radio dan tiga akhbar harian.

Untuk media atau kandungan bahasa Cina, ntv7 dan 8TV menerbitkan buletin bahasa Cina, OneFM pula adalah stesen radio bahasa Cina dan Kantonis. Walaupun New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) di bawah Media Prima pernah menguasai akhbar bahasa Cina, Shin Min Daily News pada tahun 1980-an, namun kumpulan media ini tidak lagi mengusahakan akhbar Cina setelah Shin Min ditamatkan pada tahun 1994.

Rangkaian Media di bawah Media Prima

Media

Catatan
Televisyen
TV3
Sasaran audien: Melayu
8TV
Sasaran audien: Melayu
*Dengan Buletin bahasa Cina
ntv7
Sasaran audien: berbahasa Inggeris
*Dengan Buletin bahasa Cina
TV9
Sasaran audien: Melayu
Stesen Radio
FlyFM
Stesen radio bahasa Inggeris
HotFM
Stesen radio bahasa Melayu
OneFM
Stesen Radio bahasa Cina dan Kantonis
Akhbar
New Straits Times
Akhbar harian bahasa Inggeris kedua terlaris, dengan edaran harian sejumlah 120,770 naskah
Berita Harian
Akhbar harian bahasa Melayu kedua terlaris, dengan edaran harian sejumlah 189,338 naskah
Harian Metro
Akhbar harian bahasa Melayu terlaris, dengan edaran harian sejumlah 338,552 naskah

Baru-baru ini, khabar angin tersebar bahawa Media Prima berniat untuk mengambil alih akhbar bahasa Cina, dan Goh Hin San yang menyandang jawatan penasihat kumpulan media tersebut sejak Mei 2009, dikatakan sebagai antara orang yang bertanggungjawab dalam hal ini. Goh Hin San, 54, adalah Presiden Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia (PERSPEKTIF), di samping sebagai anggota Majlis Pembakuan Bahasa Cina Malaysia.

Prestasi Media Prima yang menonjol dalam media cetak, mungkin merupakan dorongan untuk kumpulan media tersebut agar mengambil alih, atau menubuhkan satu akhbar bahasa Cina yang baru. Menurut laporan kewangan Media Prima tahun 2008 yang diumumkan pada April 2009, NSTP telah memperolehi keuntungan bersih sejumlah RM47.40 juta, 40% lebih daripada keuntungan bersih sejumlah RM33.80 juta pada tahun 2007.

Akhbar Cina sebagai pelengkap

Ketika dihubungi MerdekaReview, Goh Hin San walaupun enggan mengesahkan khabar ini, tetapi menyatakan bahawa Media Prima sebagai Kumpulan Media terbesar di negara ini, hanya kekurangan satu akhbar bahasa Cina untuk menjadi "sempurna".

Menurut Goh, Media Prima memiliki empat stesen televisyen free-to-air, tiga stesen radio dan tiga akhbar, yang agak baik prestasinya. Stesen televisyen dan radio menyiarkan rancangan tiga bahasa, tetapi apa yang kurang sempurnanya ialah sebuah akhbar bahasa Cina. Keadaan ini mendorong hasratnya untuk "memiliki satu kumpulan media yang sempurna".

Malah, Goh Hin San meluahkan "kekesalan" yang terpendam dalam hatinya. Shin Min Daily News yang pernah dimilik-kawal oleh NSTP di bawah Media Prima, dibubuh noktah penerbitannya, berikutan kegagalannya untuk mendapat sokongan komuniti Cina. Lantaran daripada hubung-kaitnya dengan parti politik, Shin Min dilihat sebagai media yang tidak adil dan tidak berkredibiliti.

Shin Min Daily News diasaskan oleh penulis terkemuka Hong Kong, Jin Yong, dan kemudiannya diambil-alih oleh Tan Koon Swan pada tahun 1976. Tan Koon Swan menyandang jawatan Presiden MCA pada tahun 1985, secara dramatiknya dipenjarakan di Singapura pada tahun 1986 kerana terjerat dalam skandal Pan-El.

Selepas itu, NSTP Berhad mengambil alih 70% saham daripada Shin Min Daily News, malah bertambah kepada 89.11% sahamnya pada Disember 1988. Jumlah edaran harian Shin Min pada tahun 1987 adalah 66,458 naskah, dan 81,503 naskah pada hari Ahad. Namun, Shin Min akhirnya tersingkir dalam persaingan, dan terpaksa ditamatkan pada tahun 1994. Sebagaimana yang difahami, permit akhbar ini masih berada pada tangan NSTP Berhad.

Menurut Goh Hin San, bukan sesuatu yang senang untuk mengusahakan satu akhbar bahasa Cina dalam suasana politik di negara kita sebegini. Namun, beliau berkata Media Prima perlu menyuarakan pandangan rakyat khususnya komuniti Cina, tidak kira bagaimana orang luar menafsir "niat Media Prima untuk mengusahakan akhbar Cina". Beliau yakin prestasi ntv7 dan 8TV dapat menghapuskan keraguan komuniti Cina.

MerdekaReview seterusnya bertanya kepada Goh Hin San, apakah kenyataan itu mempunyai maksud tersirat, bahawa Media Prima sedang merancang untuk mengusahakan akhbar Cina, Goh berkata, "Tiada maksud tersirat. Sebagai Penasihat Kumpulan (Kandungan Bahasa Cina) Media Prima Berhad, saya menyebut perkara yang saya ambil kisah."

MerdekaReview cuba menerokai kemungkinan senario yang wujud, sama ada Prima Media cuba mengambil alih satu akhbar Cina yang sedia ada dalam pasaran, ataupun menubuhkan sebuah lagi akhbar Cina yang baru. Goh menganggap kini bukan masanya untuk membincangkan hal ini secara lanjut, tetapi menganggap bahawa, "sebagai kumpulan media yang sempurna", adalah lebih ideal jikalau memiliki sebuah akhbar Cina.

Walau bagaimanapun, Goh mengakui bahawa Media Prima masih berasa khuatir dalam isu ini, setelah mengambil iktibar daripada pengajaran yang lalu.

Tiada ulasan: